Bandar Seri Begawan, Ahad, 27 Zulhijjah 1447 bersamaan 14 Jun 2026–Dalam usaha memperkukuh hubungan silaturahim serta menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan warga jabatan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Perlawanan Ten Pin Bowling Mahabbah yang diadakan di Utama Bowling Centre, Batu Satu, Bandar Seri Begawan.
Perlawanan ini merupakan antara inisiatif ke arah menyemai semangat muhibah dan mempererat kerjasama antara pegawai serta kakitangan kedua-dua jabatan. Di samping itu, ia turut berperanan dalam menyemarakkan lagi semangat persefahaman, kebersamaan dan kerja berpasukan.
Sebanyak tiga belas (13) pasukan telah mengambil bahagian dalam perlawanan tersebut, terdiri daripada tujuh (7) pasukan mewakili Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan enam (6) pasukan mewakili Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet, Kementerian Pendidikan. Perlawanan yang dipertandingkan dalam kategori berpasukan lelaki dan wanita itu melibatkan penyertaan pegawai serta kakitangan daripada kedua-dua jabatan berkenaan.
Turut hadir dan menyertai perlawanan tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Dayang Hajah Mastura binti Haji Sulaiman, Pengarah Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet, Kementerian Pendidikan, bersama pegawai serta kakitangan jabatan masing-masing.