Tutong, Sabtu, 26 Zulhijjah 1447 bersamaan 13 Jun 2026–Bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran masyarakat dalam membaca Al-Quran mengikut hukum tajwid yang betul serta memupuk minat untuk memperbaiki bacaan dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Keriam, Daerah Tutong dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, pagi tadi telah menganjurkan Bengkel Tajwid Bersama Al-Quran bagi Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah dan jemaah masjid. Bengkel tersebut diadakan di Masjid Kampung Keriam.
Penganjuran bengkel ini merupakan antara usaha berterusan Jabatan Hal Ehwal Masjid dalam meningkatkan kefahaman dan kemahiran masyarakat membaca Al-Quran mengikut hukum tajwid yang betul.
Antara objektif utama bengkel ini adalah bagi mendokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir serta melahirkan masyarakat yang celik Al-Quran. Selain itu, bengkel ini turut memberikan pendedahan mengenai asas ilmu tajwid, meningkatkan keyakinan peserta dalam membaca Al-Quran secara bertalaqqi, memupuk budaya mencintai dan mendalami ilmu Al-Quran, serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.
Bengkel yang membawa tema Bacaan Betul, Hati Tenang ini disertai oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Muslimah Masjid dan orang ramai, dengan sasaran penyertaan seramai 150 orang.
Program tersebut diisikan dengan slot pengenalan ilmu tajwid, sesi praktikal tajwid, bacaan Al-Quran secara bertajwid serta sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Yang Mulia Awang Haji Md Daud bin Haji Abd Kadir.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan bengkel berkenaan ialah Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Melalui penganjuran bengkel ini, diharapkan para peserta akan lebih mahir membaca Al-Quran dengan sebutan dan hukum tajwid yang betul. Di samping itu, ia diharap dapat membudayakan amalan membaca Al-Quran secara berterusan dalam kehidupan seharian serta mengukuhkan peranan masjid sebagai pusat ilmu, pembinaan ummah dan penyebaran dakwah kepada masyarakat.