Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL QURAN BAGI PELAJAR-PELAJAR KELAS DEWASA SEKOLAH UGAMA LUMAPAS BAGI TAHUN 1447H / 2026M

12 June 2026

MAJLIS KHATAM AL QURAN BAGI PELAJAR-PELAJAR KELAS DEWASA SEKOLAH UGAMA LUMAPAS BAGI TAHUN 1447H / 2026M

Lumapas, Jumaat, 25 Zulhijjah 1447 bersamaan 12 Jun 2026–Sejak dilaksanakan secara formal pada tahun 1958, Kelas-Kelas Dewasa Ugama yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pelajaran Lanjutan terus berperanan dalam memperkasa pendidikan ugama sepanjang hayat bagi masyarakat. Melalui kelas-kelas tersebut, para pelajar berpeluang mempelajari bacaan Al-Quran secara bertajwid dan bertartil serta mendalami ilmu-ilmu asas Islam sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Kelas-kelas berkenaan merupakan antara usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam dalam memperluas peluang pembelajaran ugama kepada masyarakat serta meningkatkan penghayatan ajaran Islam melalui pembelajaran yang tersusun dan berterusan.

Sehubungan dengan itu, seramai 21 orang pelajar Kelas Dewasa Ugama, Sekolah Ugama Lumapas yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran diraikan dalam satu majlis yang diadakan di sekolah berkenaan pada pagi tadi.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Surinah binti Haji Kula, Ketua Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Khas Majlis, diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Takhtim yang dipimpin oleh guru-guru Sekolah Ugama Lumapas, dan bacaan Doa Khatam oleh Yang Mulia Dayang Hajah Mariah binti Haji Ahmad. Acara kemudiannya diserikan dengan persembahan dikir; penyampaian sijil oleh Tetamu Khas Majlis; dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Dayang Hajah Faridah binti Haji Abd. Rahman.

Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas kejayaan para peserta menamatkan pembacaan Al-Quran, di samping menyemai kecintaan terhadap Al-Quran serta menggalakkan penghayatan dan pengamalannya dalam kehidupan seharian. Majlis tersebut juga merupakan antara usaha Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuh penghayatan Islam dan memartabatkan syiar Islam di negara ini.



Foto: JPI