Berakas, Jumaat, 25 Zulhijjah 1447 bersamaan 12 Jun 2026-Seramai 13 orang pegawai selaku Rombongan Awal 'Advance Party' Pejabat Urusan Jemaah Haji (Pentadbiran dan Perubatan) Bagi Musim Haji 1447H / 2026M yang terdiri daripada lima (5) orang Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Pentadbiran dan lapan (8) orang pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Perubatan telah selamat kembali ke tanah air daripada Arab Saudi pada pukul 4.46 petang tadi setelah selesai melaksanakan tugas di Tanah Suci.
Rombongan yang diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Bagi Musim Haji 1447H / 2026M telah bertolak ke Kerajaan Arab Saudi pada 20 April 2026 yang lalu bagi melaksanakan pelbagai persiapan dan pengurusan berkaitan kebajikan, penginapan, pengangkutan, kesihatan serta bimbingan manasik umrah dan haji serta bagi memastikan kelancaran urusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam sepanjang musim haji.
Hadir bagi mengalu-alukan kepulangan rombongan tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Haji Abdullah bin Haji Mohamad, Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta ahli-ahli Jemaah Penasihat Haji dan para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, salah seorang Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Pentadbiran.








Foto: PDI