Muara, Khamis, 24 Zulhijjah 1447 bersamaan 11 Jun 2026–Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran yang beriman, beramal dan bertakwa, sekolah-sekolah ugama di negara ini terus mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai wadah bagi meraikan murid-murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Majlis seumpamanya merupakan antara usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan penghayatan ugama dalam kalangan murid serta mengembangkan syiar Islam di negara ini.
Sehubungan itu, pada petang tadi, Sekolah Ugama Tentera Laut Diraja Brunei, Muara dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi murid-murid Darjah VI.
Bagi Sekolah Ugama Tentera Laut Diraja Brunei, Muara, majlis diadakan di dewan sekolah berkenaan bagi meraikan seramai 25 orang murid yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Izwandy bin Haji Hamdan, Ketua Unit Perhubungan Awam, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam serta persembahan dikir. Acara kemudian disusuli dengan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Pada masa yang sama, Majlis Khatam Al-Quran turut diadakan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun di dewan sekolah berkenaan bagi meraikan seramai 24 orang murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Razak bin Haji Md Daud, Ketua Unit Perkembangan dan Dokumentasi, Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah serta menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta.
Sekolah Ugama Tentera Laut Diraja Brunei, Muara
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun








Foto: JPI