Tanah Jambu, Khamis, 24 Zulhijjah 1447 bersamaan 11 Jun 2026–Sekolah Ugama Perpindahan Lambak Kanan Jalan 77 telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran pada petang tadi di Dewan Pusat Pembangunan Belia, Kampung Tanah Jambu. Majlis ini adalah bagi meraikan seramai 122 murid Darjah VI, terdiri daripada 67 murid lelaki dan 55 murid perempuan, yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran setelah mengikuti pembelajaran di peringkat sekolah ugama.
Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel (U) Muhammad Nur Aidi bin Haji Abdul Razak, Pegawai Turus Perumahan, Jabatanarah Logistik, Kementerian Pertahanan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Acara diteruskan dengan bacaan Takhtim. Kemudian diteruskan lagi dengan bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh Awang Mohd Danish bin Mohd Shahrom, sebelum disusuli dengan persembahan dikir. Majlis turut diserikan dengan penyampaian Sijil Khatam Al-Quran serta acara merenjis minyak wangi kepada para peserta oleh Tetamu Khas dan ibu bapa serta penjaga peserta khatam, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Penganjuran majlis khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama seluruh negara adalah selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran serta menjadikan pembacaannya sebagai amalan hidup beragama. Ia juga mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuh syiar Islam dan menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan generasi muda di negara ini.






Foto: JPI