Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM CERAMAH: MENELADANI TOKOH WANITA ISLAM ZAMAN  RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM

10 June 2026

PROGRAM CERAMAH: MENELADANI TOKOH WANITA ISLAM ZAMAN RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM

Sungai Hanching, Rabu, 24 Zulhijjah 1447 bersamaan 10 Jun 2026–Dalam usaha memberi peluang kepada para muslimah untuk mengenali tokoh-tokoh wanita Islam sebagai contoh teladan dalam kehidupan, serta mencetuskan inspirasi dalam pembentukan jati diri yang kukuh, di samping meningkatkan kesedaran mengenai peranan wanita dalam menegakkan syiar Islam dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan muslimah masjid, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching telah menganjurkan Program Ceramah Meneladani Tokoh Wanita Islam Zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

Program tersebut telah diadakan pada pagi tadi bertempat di Masjid Kampung Sungai Hanching.

Ceramah telah disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nadhirah binti Haji Lahit, Guru Ugama Terlatih Tingkat Khas merangkap Ketua Unit Kelas Bimbingan Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Tindakan Jawatankuasa Menangani Kegiatan Tidak Bermoral yang bertujuan memperkukuhkan pembentukan sahsiah dan jati diri muslimah melalui penghayatan kisah-kisah tokoh wanita Islam yang unggul pada zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Melalui ceramah tersebut, para peserta didedahkan kepada keperibadian, keteguhan iman serta sumbangan para serikandi Islam dalam memperjuangkan agama dan membangunkan masyarakat.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee, isteri Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir ialah Ahli-Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid serta para muslimah daripada beberapa buah masjid di Daerah Brunei dan Muara yang menyertai program berkenaan.

Adalah diharapkan program seumpama ini akan terus menjadi platform yang berkesan dalam memperkasa golongan muslimah agar mencontohi keperibadian mulia tokoh-tokoh wanita Islam. Melaluinya, diharapkan para peserta dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan serta menyemarakkan semangat berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

 

Foto: JHEM​