Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA PENGIRAN ANAK PUTERI MAJEEDAH NUURUL BOLKIAH (SESI PAGI DAN PETANG), KILANAS TAHUN 1447H / 2026M

10 June 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA PENGIRAN ANAK PUTERI MAJEEDAH NUURUL BOLKIAH (SESI PAGI DAN PETANG), KILANAS TAHUN 1447H / 2026M

Kilanas, Rabu, 23 Zulhijjah 1447 bersamaan 10 Jun 2026–Dalam usaha memperkukuhkan pembelajaran dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan murid, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bolkiah, Kilanas petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 96 murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Peserta khatam terdiri daripada 54 murid lelaki dan 42 murid perempuan yang merupakan gabungan murid sesi pagi dan sesi petang. Majlis tersebut diadakan di Dewan Ar-Rahmah, Kompleks Mim-Nun Jaya, Jalan Bebatik-Kilanas, Kampung Kilanas.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Ameerolbahrynee bin Haji Abdul Hamid, Ketua Kampung Kilanas.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Tetamu Khas Majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam yang dibacakan oleh Awang Muhammad Mifzal Marhan bin Musa, peserta khatam serta persembahan dikir.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta oleh Tetamu Khas Majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Adanan bin Haji Ahmad, Tenaga Pengajar Sekolah berkenaan.

Majlis diadakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, beriman, beramal dan bertaqwa, di samping menjadikan membaca Al-Quran sebagai amalan hidup berugama.

Ia juga sebagai usaha pihak Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam sama-sama mengukuhkan syiar Islam di negara ini.

 

Foto: JPI