Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MULTAQA DA’IE BERSAMA PROFESOR DR. SHARIFAH HAYAATI BINTI SYED ISMAIL

09 June 2026

MULTAQA DA’IE BERSAMA PROFESOR DR. SHARIFAH HAYAATI BINTI SYED ISMAIL

Pulaie, Selasa, 22 Zulhijjah 1447 bersamaan 09 Jun 2026-Penganjuran Multaqa Da'ie merupakan salah satu inisiatif Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam menyediakan platform kepada para da'ie untuk memperluas ilmu pengetahuan, menjana pemikiran yang lebih dinamik serta mengambil peluang berkongsi pengalaman melalui pertemuan dengan tokoh akademik dan ulama dari dalam dan luar negara. Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan keyakinan dan keupayaan para da'ie tempatan agar lebih berdaya saing, di samping memperkukuhkan kredibiliti pegawai-pegawai Pusat Da'wah Islamiah dalam bidang dakwah, khususnya dalam penyampaian ceramah dan pengendalian program-program dakwah.

Sehubungan dengan itu, pada pagi tadi, Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Penyebaran Da'wah telah mengadakan Majlis Multaqa Da'ie Bersama Profesor Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Seramai 140 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan da'ie Kementerian Hal Ehwal Ugama serta jabatan-jabatan di bawahnya, di samping pegawai dan da'ie jemputan Pusat Da'wah Islamiah, telah menyertai multaqa tersebut.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhamad Abdul Haziq bin Hanafi, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd. Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.

Acara utama multaqa ialah penyampaian ceramah bertajuk Baldatun Thaiyibah dan Kesejahteraan Ummah: Peranan Para Da'ie oleh penceramah khas, Yang Mulia Profesor Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail.

Ceramah tersebut antara lain mengetengahkan beberapa inti pati penting, antaranya ciri-ciri Baldatun Thaiyibah dan ummah yang sejahtera; tiga asas kesejahteraan ummah iaitu Hablun Minallah (hubungan dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala), Hablun Minannas (hubungan sesama manusia) dan Hablun Minal 'Alam (hubungan dengan alam sekitar); hubungan antara kesejahteraan ummah dengan kebahagiaan serta kesihatan mental; tiga pendekatan dakwah iaitu bil hal (melalui tindakan dan turun padang), bil maqal/bil kitabah (melalui percakapan dan penulisan) serta bin naqal (melalui komunikasi dan penyampaian maklumat); serta persiapan dan adab yang perlu dimiliki oleh para da'ie dalam melaksanakan tugas dakwah.

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah khas yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat. Acara kemudian diakhiri dengan bacaan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-'Asr.

Penganjuran Multaqa Da'ie ini diharapkan dapat terus menyuntik semangat dan mengukuhkan istiqamah para da'ie dalam usaha menyebarkan syiar Islam, di samping mempertingkatkan kesiapsiagaan mereka dalam mendepani cabaran dakwah kontemporari. Semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta menjadi pemangkin kepada pelaksanaan dakwah yang lebih tersusun, berkesan dan berimpak tinggi selaras dengan keperluan semasa.

 

​Foto: PDI​