Kiarong, Isnin, 21 Zulhijjah 1446 bersamaan 08 Jun 2026–Ceramah khas bertajuk Saiyidatina Khadijah binti Khuwailid: Suri Teladan Wanita Sepanjang Zaman telah disampaikan oleh Yang Mulia Profesor Dr Sharifah Hayaati binti Syed Ismail, Profesor Jabatan Siasah Syar'iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, yang juga merupakan Profesor Pelawat di Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Program Ceramah Khas Wanita Sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026 ini diadakan pagi tadi bertempat di Ruang Solat Jemaah Perempuan, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong. Ceramah tersebut antara lain mengetengahkan contoh keunggulan peribadi serta peranan wanita dalam memperkukuhkan institusi keluarga dan masyarakat.
Program yang bertemakan Keluargaku Harapanku ini bertujuan memperkukuhkan kefahaman mengenai kepentingan institusi keluarga menurut perspektif Islam, di samping meningkatkan kesedaran golongan wanita terhadap peranan dan tanggungjawab mereka dalam membentuk keluarga yang harmoni, sejahtera dan berdaya tahan. Selain menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan cabaran kekeluargaan masa kini, program ini turut membincangkan pendekatan penyelesaiannya yang berasaskan ajaran Islam serta memperkukuhkan lagi kerjasama antara institusi pendidikan, pihak masjid dan masyarakat dalam usaha memperkasa pembangunan keluarga.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee, isteri kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam. Turut hadir ialah Yang Mulia Professor Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Penolong Rektor (Hal Ehwal Akademik) Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); Yang Mulia Pengiran Dr, Khairiah binti Pengiran Haji Hashim, Pemangku Penolong Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); pegawai-pegawai utama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); para peserta wanita yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan serta swasta, ahli persatuan bukan kerajaan, muslimah masjid dari seluruh negara, serta orang ramai.
Melalui penganjuran program ini, para peserta diharap akan dapat menghayati dan mengamalkan nilai-nilai kekeluargaan yang berteraskan ajaran Islam, serta terus memainkan peranan aktif dalam membentuk keluarga cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara yang harmoni serta sejahtera.
Program Ceramah Khas Wanita sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026 ini dianjurkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.





Foto: JHEM