Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-232

06 June 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-232


Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 20 Zulhijjah 1447 bersamaan 06 Jun 2026–Sesudah haji, yang paling penting bukan perubahan gelaran atau penampilan, tetapi perubahan hati yang semakin dekat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan semakin rindu kepada akhirat. Begitu juga Al-Imam al-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa pendapat yang paling kuat dan masyhur mengenai haji mabrur ialah haji yang tidak dicampuri oleh dosa dan maksiat. Perkataan mabrur itu sendiri berasal daripada al-birr yang bermaksud ketaatan. Maksudnya, jika sebelum ini seseorang terbiasa melakukan dosa, maka selepas hajinya dia meninggalkan dosa tersebut. Jika ada dosa-dosa kecil yang pernah dilakukan, dia segera bertaubat dan kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Jadi ukuran haji mabrur bukan sekadar bagaimana kita pergi ke Tanah Suci, tetapi bagaimana kita kembali daripadanya.

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Apa Selepas Haji yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammed Khairul Mu'az bin Haji Sibodaud, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-232 pada malam tadi.

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah Masjid Kampung Belimbing, Subok serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga selaku Ketua Kampung Belimbing, Subok, dan Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belimbing, Subok.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Akbar bin Pengiran Haji Mohd Sabri, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Belimbing, Subok, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang seterusnya juga membacakan Doa Munajat.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Mubin Khairullah bin Haji Mafshah, Belia Masjid Kampung Belimbing, Subok. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Jamalulhair bin Mohin, Bilal Tingkat II, Masjid Kampung Belimbing, Subok, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.​