Tutong, Sabtu, 19 Zulhijjah 1447 bersamaan 06 Jun 2026-Surah Al-Fatihah merupakan surah penting dan wajib dibaca dalam setiap sembahyang. Justeru, bacaan yang betul dari segi tajwid, makhraj dan fasahah perlu dipelajari, difahami serta diperkukuh oleh semua peringkat umur, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda agar bacaan yang dilafazkan benar-benar sempurna.
Bagi mendukung usaha tersebut, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Daerah Tutong dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong pagi tadi mengendalikan Bengkel Surah Al-Fatihah bagi Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah dan Jemaah Masjid bagi Tahun 1447H/2026M bertempat di masjid berkenaan.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para peserta mengenai hukum-hukum tajwid dalam bacaan Surah Al-Fatihah, di samping memperbetulkan sebutan makhraj huruf serta memantapkan bacaan dalam sembahyang. Program berkenaan juga memberi peluang kepada para peserta untuk mempraktikkan bacaan secara langsung melalui sesi latihan, sekali gus mengeratkan hubungan silaturrahim dan memupuk semangat ukhuwah dalam kalangan peserta. Melalui program ini, diharap akan lahir lebih ramai pembaca Surah Al-Fatihah yang berkemahiran dan berpotensi menjadi contoh ikutan dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir, muslimah serta jemaah masjid.
Antara pengisian bengkel termasuk penerangan mengenai pengertian dan hukum-hukum tajwid serta penekanan terhadap kepentingan membaca Surah Al-Fatihah dengan betul dalam sembahyang, disertai contoh-contoh bacaan yang tepat. Para peserta juga didedahkan kepada jenis-jenis kesalahan yang sering berlaku dalam bacaan Al-Quran selain mengikuti sesi tahsin secara berkumpulan dan perseorangan bagi membantu memperbaiki mutu bacaan masing-masing. Di samping itu, bengkel turut memberikan penerangan lebih mendalam mengenai hukum-hukum tajwid khusus bagi Surah Al-Fatihah, selain menyelitkan pembelajaran asas lagu-lagu murattal serta panduan lain yang bersesuaian dalam usaha meningkatkan kualiti bacaan para peserta.
Bengkel ini dikendalikan oleh fasilitator, Yang Mulia Awang Haji Daud bin Haji Abd. Kadir.
Pengendalian bengkel seumpama ini dihasratkan menjadi wadah yang bermanfaat dalam membantu para peserta mempertingkatkan mutu bacaan Surah Al-Fatihah, seterusnya memberi impak positif terhadap kesempurnaan ibadah, khususnya sembahyang, serta melahirkan individu yang mampu menjadi contoh ikutan kepada anak kariah yang lain.