Tanjong Bunut, Ahad, 13 Zulhijjah 1447 bersamaan 31 Mei 2026–Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah, Masjid Ar-Rahman dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tanjung Bunut telah mengadakan Majlis Penyerahan Daging Ibadah Korban kepada golongan asnaf fakir dan miskin di Kampung Tanjung Bunut. Majlis diadakan di masjid berkenaan pagi tadi.
Sebanyak enam (6) ekor kerbau dikorbankan pada tahun ini dan hasil daging korban diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Seramai 16 orang penerima yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin Kampung Tanjung Bunut telah menerima agihan daging korban dalam majlis tersebut.
Hadir menyempurnakan penyampaian daging korban kepada para penerima ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ar-Rahman.
Majlis ini merupakan salah satu usaha berterusan pihak masjid dan Majlis Perundingan Kampung Tanjung Bunut dalam menyemarakkan syiar Islam, di samping memupuk semangat keprihatinan, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Ia juga mencerminkan nilai pengorbanan dan kesyukuran yang menjadi teras sambutan Hari Raya Aidiladha serta menggalakkan amalan saling membantu dan berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.