Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS IBADAH KORBAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA TAHUN 1447H/2026M

30 May 2026

MAJLIS IBADAH KORBAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA TAHUN 1447H/2026M

Berakas, Sabtu, 12 Zulhijjah 1447 bersamaan 30 Mei 2026–Dalam usaha memperkukuh nilai pengorbanan dan semangat ukhuwah, memperkembang syiar Islam serta memupuk semangat muafakat, kerjasama dan rasa pemedulian terhadap golongan yang memerlukan, di samping menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi mengadakan Majlis Ibadah Korban bagi Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi bertempat di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Pada majlis tersebut, sebanyak dua (2) ekor lembu, tiga (3) bahagian kerbau dan seekor (1) kambing telah dikorbankan hasil penyertaan warga Kementerian Hal Ehwal Ugama dan ahli keluarga mereka.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin.

Seramai 20 orang ketua keluarga daripada golongan Asnaf Fakir Miskin yang terdiri daripada penduduk Mukim Kianggeh dan Mukim Berakas 'A' telah menerima agihan daging korban pada tahun ini.

Daging Korban Sunat dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu satu pertiga (1/3) daripada daging korban sunat disedekahkan kepada golongan Asnaf Fakir Miskin; satu pertiga (1/3) diagihkan kepada umat Islam; dan satu pertiga (1/3) lagi diperuntukkan kepada peserta yang melaksanakan ibadah korban.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan acara pengagihan daging korban yang disempurnakan penyampaiannya oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Pelaksanaan Ibadah Korban ini diharap akan dapat memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, di samping menyemai nilai kesyukuran, keikhlasan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kementerian.

Semoga segala amal ibadah yang dilaksanakan diterima oleh Allah Subahanhu Wa Ta'ala serta dikurniakan keberkatan yang berpanjangan dalam setiap kehidupan di dunia dan akhirat, InsyaAllah.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Men teri Hal Ehwal Ugama dan Datin; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Isteri.

Majlis Ibadah Korban Kementerian Hal Ehwal Ugama pada tahun ini dikendalikan oleh Jabatan Pentadbiran, Jabatan Majlis Ugama Islam, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitul Mal dan Bahagian Pendakwaan Syar'ie.​