Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 13 Zulhijjah 1447 bersamaan 30 Mei 2026–Allah Maha Adil. Dia tidak menjadikan ganjaran pahala yang besar hanya untuk mereka yang berpeluang hadir di Padang 'Arafah. Bagi Muslimah yang berada di rumah, Allah Subhanahu Wa Ta'ala turut membuka pintu ganjaran yang luas pada 10 hari pertama Zulhijjah. Antara amalan utama yang boleh dilakukan oleh Muslimah walaupun tidak menunaikan ibadah haji ialah: Berpuasa Sunat 'Arafah pada 9 Zulhijjah; Memperbanyakkan zikir seperti takbir, tahmid, tahlil dan tasbih; Melipatgandakan amalan soleh, termasuk solat sunat, membaca Al-Quran, bersedekah dan berdoa; serta Bermuhasabah diri serta meninggalkan maksiat dan dosa, di samping memperbaharui taubat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Rebutlah kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah kerana ia merupakan antara hari-hari yang paling dicintai Allah untuk melakukan amalan soleh.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Amalan Muslimah (Yang Tidak Berhaji) di Bulan Zulhijjah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Zunainah binti Haji Gunong, Tenaga Pembimbing dari Masjid Kampung Penanjong bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-35 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-231 pada malam tadi.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah para muslimah dan jemaah Masjid Kampung Penanjong dan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong serta beberapa lagi masjid di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja wanita di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Arifah binti Mohd Arifin, Muslimah Masjid Kampung Penanjong yang bersiaran dari Masjid Kampung Penanjong.
Diikuti dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Siti Nur Atiqah binti Haji Ismail, Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nurhasyimah binti Rosli, Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Ibrahimiah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Rusiah binti Haji Idris, Muslimah Masjid Kampung Penanjong. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Haziqah Najwa binti Ibrahim, Penyelia Hal Ehwal Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.