Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA  SULTAN  DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BERANGKAT MENUNAIKAN SEMBAHYANG SUNAT HARI RAYA AIDILADHA BAGI TAHUN 1447H/2026M

28 May 2026

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BERANGKAT MENUNAIKAN SEMBAHYANG SUNAT HARI RAYA AIDILADHA BAGI TAHUN 1447H/2026M

Kiarong, Khamis, 10 Zulhijjah 1447 bersamaan 28 Mei 2026–Pujian takbir, tasbih dan tahmid bergema lagi di bumi Darussalam tanda syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas kurniaan-Nya, kita menyambut Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah pada hari ini.

Dalam sama-sama mensyukuri nikmat yang kita raikan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai bersama para jemaah di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1447 Hijrah.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara; Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan; serta Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.

Pada pagi tersebut, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha Berjemaah diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.

Diikuti dengan Khutbah Sunat Hari Raya Aidiladha yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha diadakan secara serentak di masjid-masjid utama, surau dan balai ibadat seluruh negara bermula pada pukul 7.30 pagi tadi dengan kehadiran ramai jemaah yang turut sama menyemarakkan Hari Kebesaran Islam ini.

Hari Raya Aidiladha bukan sekadar sambutan, bahkan mengangkat makna ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Nabi Ismail Alaihissalam, yang terus menjadi inspirasi serta pedoman dalam kehidupan seharian umat Islam.​