Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

BENGKEL SURAH AL-FATIHAH BAGI AHLI JAWATANKUASA TAKMIR, MUSLIMAH DAN JEMAAH MASJID BAGI TAHUN 1447H/2026M

25 May 2026

BENGKEL SURAH AL-FATIHAH BAGI AHLI JAWATANKUASA TAKMIR, MUSLIMAH DAN JEMAAH MASJID BAGI TAHUN 1447H/2026M

Temburong, Isnin, 07 Zulhijjah 1447 bersamaan 25 Mei 2026-Surah Al-Fatihah merupakan surah penting dan wajib dibaca dalam setiap sembahyang. Justeru, bacaan yang betul dari segi tajwid, makhraj dan fasahah perlu dipelajari, difahami serta diperkukuh oleh semua peringkat umur, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda agar bacaan yang dilafazkan benar-benar sempurna.

Bagi mendukung usaha tersebut, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong pagi tadi mengendalikan Bengkel Surah Al-Fatihah bagi Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah dan Jemaah Masjid bagi Tahun 1447H/2026M bertempat di masjid berkenaan.

Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para peserta mengenai hukum-hukum tajwid dalam bacaan Surah Al-Fatihah, di samping memantapkan sebutan makhraj huruf serta bacaan tajwid dalam sembahyang. Selain itu, program berkenaan juga memberi peluang kepada para peserta untuk mempraktikkan bacaan secara langsung melalui sesi latihan, sekali gus mengeratkan hubungan silaturrahim sesama peserta serta memupuk semangat ukhuwah sesama mereka. Melalui program ini, diharap akan lahir lebih ramai pembaca Surah Al-Fatihah yang berkemahiran untuk dijadikan contoh ikutan dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir, muslimah serta jemaah masjid.

Antara pengisian bengkel termasuk penerangan mengenai pengertian dan hukum-hukum tajwid selain penekanan terhadap kepentingan membaca Surah Al-Fatihah dengan betul dalam sembahyang beserta contoh-contoh bacaan yang tepat. Para peserta juga didedahkan kepada jenis-jenis kesalahan yang sering berlaku dalam bacaan Al-Quran, di samping mengikuti sesi tahsin secara beramai-ramai mahupun perseorangan bagi membantu memperbaiki mutu bacaan masing-masing.  Bengkel tersebut juga menyediakan penerangan mendalam mengenai hukum-hukum tajwid khusus bagi Surah Al-Fatihah selain menyelitkan pembelajaran asas lagu-lagu murattal serta panduan lain yang bersesuaian dalam usaha memantapkan kualiti bacaan para peserta.

Bengkel ini dikendalikan oleh fasilitator, Yang Mulia Awang Norezam bin Haji Zaini, Pegawai Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.

Pengendalian bengkel seumpama ini adalah dihasrat menjadi wadah yang bermanfaat dalam membantu para peserta mempertingkatkan mutu bacaan Al-Fatihah, seterusnya memberi impak positif terhadap kesempurnaan ibadah, khususnya sembahyang serta melahirkan individu yang mampu menjadi contoh ikutan kepada anak-anak kariah yang lain.​