Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM IKON MUALLAF2.0:   JALAN LIMA SESI KE-2 “541: PRAYER, YOUR LIFELINE TO ALLAH”  TAHUN 1447H/2026M

24 May 2026

PROGRAM IKON MUALLAF2.0: JALAN LIMA SESI KE-2 “541: PRAYER, YOUR LIFELINE TO ALLAH” TAHUN 1447H/2026M

Kiarong, Ahad, 06 Zulhijjah 1447 bersamaan 24 Mei 2026–Dalam usaha memperkukuhkan kefahaman para peserta Ikon Muallaf 2.0 mengenai peranan sembahyang sebagai kewajipan utama dalam Islam serta penghubung antara hamba dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam kehidupan seharian, program ini turut dihasratkan untuk mengukuhkan keyakinan serta kemahiran praktikal peserta dalam menunaikan sembahyang dengan betul, khusyuk dan berterusan.

Pagi tadi, Belia Muallaf As-Syahadah dengan kerjasama Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima Sesi Ke-2 bertajuk “Sembahyang" yang diadakan di Dewan Serbaguna Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima, di mana bagi sesi ini para peserta diberikan penekanan terhadap Rukun Islam Kedua iaitu sembahyang. Program ini menerima penyertaan daripada seramai 50 orang termasuk ahli jawatankuasa pelaksana.

Penceramah jemputan ialah Yang Mulia Dayang Siti Hurul-Ain Diyana @ Vieana binti Haji Abdul Majid, Penceramah Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB). Antara pengisian program termasuk Sesi Borak Santai serta sesi soal jawab yang memfokuskan kepada kefahaman dan pelaksanaan ibadah solat.

Selain itu, program berkenaan juga diharap akan dapat membentuk penghayatan peserta terhadap ibadah sembahyang sebagai amalan yang mampu menguatkan iman, mendidik disiplin diri serta memberikan ketenangan jiwa. Melalui pengisian yang disampaikan, para peserta turut dibimbing untuk memahami makna dan tujuan sembahyang agar dapat diamalkan dengan penuh keyakinan dan istiqamah dalam kehidupan seharian.

Pelaksanaan program seumpama ini diharap akan terus menjadi platform yang berkesan dalam memperkukuhkan kefahaman serta penghayatan sembahyang sebagai tiang agama dalam kalangan saudara baharu. Sehubungan itu, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah diharapkan demi melahirkan saudara baharu yang berilmu, berkeyakinan dan berdaya tahan dalam menghayati ajaran Islam secara menyeluruh.​