Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA ANTARABANGSA JERUDONG (JIS) BAGI TAHUN 2026M/1447H

22 May 2026

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA ANTARABANGSA JERUDONG (JIS) BAGI TAHUN 2026M/1447H

Jerudong, Jumaat, 04 Zulhijjah 1447 bersamaan 22 Mei 2026–Dalam usaha menyemarakkan budaya membaca Al-Quran serta melahirkan generasi celik Al-Quran yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan seramai 72 orang murid Darjah VI bertempat di Art Centre, Sekolah Antarabangsa Jerudong.

Daripada jumlah tersebut, seramai 40 orang terdiri daripada murid lelaki, manakala 32 orang lagi ialah murid perempuan yang telah berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Muhamad Fakhri bin Haji Mohd Taib, Setiausaha Tetap (Protokol, Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam. Acara kemudian diteruskan dengan bacaan Takhtim serta Doa Khatam yang dipimpin oleh Awang Haji Muhammad Wafiq Qawiem bin Haji Muhammad Fakhri.

Seterusnya penyampaian sijil kepada para peserta khatam yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Acara turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama di negara ini merupakan antara usaha berterusan dalam mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran yang menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan seharian. Di samping itu, majlis seumpama ini juga mencerminkan komitmen Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuh syiar Islam serta membentuk generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.​