Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH BAGI PERTANDINGAN KHAT KELAS BIMBINGAN MUSLIMAH SENEGARA

21 May 2026

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH BAGI PERTANDINGAN KHAT KELAS BIMBINGAN MUSLIMAH SENEGARA

Meragang, Khamis, 03 Zulhijjah 1447 bersamaan 21 Mei 2026–Tulisan khat merupakan salah satu seni warisan penting dalam peradaban Islam. Seni ini merujuk kepada garisan-garisan yang membentuk tulisan indah yang terikat dengan kaedah dan peraturan tertentu hasil kajian serta penetapan para pakar dalam bidang seni khat. Justeru, pendedahan mengenai seni tulisan khat amat penting khususnya bagi para muslimah yang mengikuti Kelas Bimbingan Muslimah di seluruh negara, kerana penyertaan dalam bengkel seumpamanya bukan sahaja dapat menambah pengetahuan, malah turut memberi kemahiran dalam penulisan dan penghayatan terhadap seni khat Islam.

Sehubungan dengan itu, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Az-Zakireen, Kampung Meragang pagi tadi menganjurkan Pertandingan Khat Kelas Bimbingan Muslimah Senegara dengan memberi tumpuan kepada Khat Riq'ah. Majlis kemudiannya diselajurkan dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan tersebut di masjid berkenaan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee, isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.

Penganjuran pertandingan ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai seni tulisan khat sebagai salah satu cabang kesenian Islam, di samping mencungkil bakat, memupuk minat serta memperkasa kemahiran muslimah dalam bidang penulisan khat.

Pada majlis tersebut, Tetamu Kehormat turut berkesempatan menyaksikan pameran hasil karya para peserta yang memenangi pertandingan khat berkenaan.​