Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM TAZKIRAH AIDILADHA BAGI  AHLI JAWATANKUASA TAKMIR, MUSLIMAH DAN JEMAAH MASJID BAGI TAHUN 1447H/2026M

20 May 2026

PROGRAM TAZKIRAH AIDILADHA BAGI AHLI JAWATANKUASA TAKMIR, MUSLIMAH DAN JEMAAH MASJID BAGI TAHUN 1447H/2026M

Bandar Seri Begawan, Rabu, 02 Zulhijjah 1447 bersamaan 20 Mei 2026–Dalam usaha memperkukuh serta meningkatkan kefahaman para jemaah mengenai pengajaran dan hikmah di sebalik peristiwa Aidiladha, di samping menyemai kesedaran tentang bahaya kecintaan yang berlebihan terhadap dunia sehingga boleh melalaikan manusia daripada mengingati Allah Subhanahu Wa Ta'ala, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid As-Shaliheen telah menganjurkan Program Tazkirah Aidiladha.

Program berkenaan diadakan khusus bagi Ahli Jawatankuasa Takmir, para muslimah serta jemaah Masjid As-Shaliheen sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan di masjid berkenaan.

Acara tersebut diserikan dengan Tazkirah bertajuk Aidiladha: Antara Cinta Dunia dan Panggilan Langit yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohamad Ali, Pegawai Hal Ehwal Masjid Kanan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Penganjuran program ini juga bertujuan untuk menggalakkan para hadirin agar terus meningkatkan keimanan, ketakwaan serta semangat pengorbanan dalam kehidupan seharian di samping memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Selain itu, program ini turut menjadi salah satu inisiatif dalam usaha mengimarahkan masjid melalui aktiviti keilmuan dan kerohanian, sekali gus memperkasa peranan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu, pembinaan sahsiah dan pembangunan rohani umat Islam.​