Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-229

16 May 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-229

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 29 Zulkaedah 1447 bersamaan 16 Mei 2026–Bulan Zulhijjah yang mana di dalamnya terdapat sepuluh hari pertama Zulhijjah yang merupakan antara hari paling istimewa dalam Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah seperti berzikir, berpuasa sunat, membaca Al-Quran, bersedekah serta melaksanakan ibadah korban. Turut dikisahkan peristiwa Nabi Ibrahim AS dan puteranya Nabi Ismail AS sebagai teladan agung dalam menghayati nilai ketaatan dan pengorbanan demi menunaikan perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Peristiwa ini menjadi lambang keikhlasan, keteguhan imam serta pengorbanan yang tinggi dalam kehidupan seorang Muslim.  Oleh itu, umat Islam adalah diseru agar merebut keberkatan bulan Zulhijjah dengan memperbanyakkan amal kebajikan, meningkatkan keimanan, memperbaiki akhlak serta memperkukuhkan hubungan sesama insan, selaras dengan tuntutan Islam dalam melahirkan masyarakat yang bertaqwa, bersatu padu dan berdaya saing.

Demikian antara perkara yang disentuh di dalam Tazkirah bertajuk Menyambut Kemuliaan Bulan Zulhijjah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Khaliq bin Kamree, Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-229 pada malam tadi.

Menyemarakkan acara Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait dan beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Zairul Halfi bin Talip, Penghulu Mukim Seria, Daerah Belait dari Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait yang bersiaran dari Masjid berkenaan.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nur Syakirin bin Ahmad Mahmud, Belia dari Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait.  Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohd Shahirwandy bin Samsudin, Imam Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Alhadi bin Zainal Abidin, Belia dari Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mustaqim bin Haji Mustafa, Bilal Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan Seria, Daerah Belait, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.