Lambak Berakas, Sabtu, 28 Zulkaedah 1447 bersamaan 16 Mei 2026–Majlis Penerimaan Siswa–Siswi Baharu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Pengambilan Kali Ke-4, Sesi Pengajian 2026–2029M diadakan pagi tadi di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Bagi sesi pengajian kali ini, seramai 44 orang terdiri daripada 28 Siswa dan 16 Siswi yang baharu telah diterima masuk untuk mengikuti pengajian di peringkat Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali selaku Ahli Lembaga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; pengetua-pengetua sekolah Arab; ibu bapa; siswa-siswi yang diraikan serta para pegawai, guru dan kakitangan Institut berkenaan.
Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan ayat suci Al-Quran “Qiraat Imam Warsh 'An Nafi'" berserta intisari ayat yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Hassanil Muhtadi Al-Siddiqi bin Drs Haji Ismuhadi dan Yang Mulia Abdul Hadi Muayyad bin Haji Azrol, siswa Tahun 1 Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat Sesi 2026 – 2029M Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diikuti ucapan daripada Tetamu Kehormat Majlis.
Seterusnya, para hadirin menyaksikan tayangan video sebelum diteruskan dengan penyampaian Mushaf Qiraat kepada siswa - siswi baharu oleh Tetamu Kehormat Majlis. Acara kemudiannya diteruskan lagi dengan bacaan Ikrar oleh siswa – siswi baharu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sesi 1447H/2026M yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Syazwan bin Mohd Sidek, siswa Tahun 1, Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat Institut berkenaan.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Dr. Sheikh Haji Mutiaa Al-Kabbani Mahmoud, Pensyarah Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat.