Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

BENGKEL SURAH AL-FATIHAH BAGI AHLI JAWATANKUASA  TAKMIR, MUSLIMAH DAN JEMAAH MASJID BAGI TAHUN 1447H/2026M

16 May 2026

BENGKEL SURAH AL-FATIHAH BAGI AHLI JAWATANKUASA TAKMIR, MUSLIMAH DAN JEMAAH MASJID BAGI TAHUN 1447H/2026M

Lambak Berakas, Sabtu, 28 Zulkaedah 1447 bersamaan 16 Mei 2026–Surah Al-Fatihah merupakan surah penting yang wajib dibaca dalam setiap solat. Oleh itu, bacaan yang betul dari segi tajwid, makhraj dan fasahah perlu dipelajari serta diperkukuh oleh semua peringkat umur, lebih-lebih lagi generasi muda.

Sehubungan dengan itu Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Lambak Berakas dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara telah mengendalikan Bengkel Surah Al-Fatihah bagi Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah dan Jemaah Masjid bagi Tahun 1447H/2026M. Bengkel tersebut diadakan di Masjid Kampung Lambak Berakas.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman peserta tentang hukum tajwid dalam bacaan Surah Al-Fatihah, di samping memantapkan sebutan makhraj huruf serta bacaan tajwid dalam solat. Selain itu, program berkenaan juga bertujuan memberi pendedahan secara praktikal melalui pertandingan bacaan, sekali gus mengeratkan silaturrahim sesama peserta. Program ini turut diadakan bagi melahirkan contoh ikutan pembaca Surah Al-Fatihah yang baik dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir, muslimah serta jemaah masjid.

Antara pengisian bengkel ialah penerangan mengenai pengertian dan hukum tajwid serta penekanan terhadap kepentingan membaca Surah Al-Fatihah dalam solat beserta contoh bacaannya. Para peserta juga didedahkan kepada jenis-jenis kesalahan dalam bacaan Al-Quran, sesi tahsin secara beramai-ramai mahupun secara individu, serta penerangan mendalam mengenai hukum-hukum tajwid khusus bagi Surah Al-Fatihah. Di samping itu, program ini turut menyerapkan pembelajaran jenis-jenis lagu secara murattal dan perkara-perkara lain yang diperlukan bagi memantapkan kualiti bacaan para peserta.

Fasilitator bengkel berkenaan ialah Yang Mulia Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani, Pegawai Masjid, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Pengendalian bengkel seumpama ini adalah dihasrat menjadi satu peluang terbuka bagi para peserta untuk meningkatkan mutu bacaan Al-Fatihah dan dapat memberi impak positif kepada kualiti ibadah khususnya solat dan menjadi contoh ikutan kepada anak kariah yang lain.​