Tutong, Sabtu, 28 Zulkaedah 1447 bersamaan 16 Mei 2026–Bagi memupuk minat dan meningkatkan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah Arab, pagi tadi Ma'had Islam Brunei mengadakan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) bertemakan 'Kesihatan Kita Tanggungjawab Kita' yang diadakan di sekolah berkenaan.
Selaras dengan tema program, pelaksanaannya bertujuan memperkenalkan istilah dan terma kesihatan dalam Bahasa Arab, di samping meningkatkan minat serta kemahiran para pelajar untuk berkomunikasi menggunakan Bahasa Arab secara praktikal. Selain itu, program ini juga dikendalikan sebagai salah satu medium untuk meningkatkan keyakinan diri pelajar agar dapat bertutur dalam bahasa Arab dengan lebih lancar dan betul melalui pelbagai aktiviti interaktif yang menarik dan bermanfaat.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Siti Hasrainah binti Haji Md Hassan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kementerian Kesihatan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengetua Ma'had Islam Brunei, Yang Mulia Dayang Sarimah binti Haji Ahmad. Antara pengisian atur cara majlis ialah perasmian program, persembahan tausyeh, persembahan dialog kesihatan dalam Bahasa Arab serta lawatan ke reruai-reruai permainan.
Program Hayya Ilal 'Arabiyah (Mari Berbahasa Arab) merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pengajian Islam yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah Arab sebagai usaha memperkukuhkan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar.