Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH:  SEKOLAH ARAB TEMBURONG  BAGI TAHUN 1447H / 2026M

14 May 2026

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH: SEKOLAH ARAB TEMBURONG BAGI TAHUN 1447H / 2026M

Bangar, Khamis, 26 Zulkaedah 1447 bersamaan 14 Mei 2026–Dalam usaha memupuk minat serta memperkukuhkan kemahiran bertutur Bahasa Arab dalam kalangan pelajar, Sekolah Arab Temburong pagi tadi mengadakan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) bertemakan Hari Keluarga: Meluangkan Masa Bersama Keluarga.

Program tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri serta memperluas penguasaan para pelajar dalam berkomunikasi menggunakan Bahasa Arab melalui pelbagai aktiviti interaktif, bermanfaat dan berkonsepkan pembelajaran menyeronokkan (fun learning), sekali gus membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Arab.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Ahsanul Azmi bin Haji Sarbini, Pemangku Penolong Pengarah (Institusi Pengajian), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Serikartini binti Haji Omar, Guru Besar Sekolah Arab Temburong. Atur cara majlis turut diisikan dengan perasmian program, tayangan video, penyampaian hadiah serta lawatan ke reruai-reruai aktiviti yang disediakan.

Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) merupakan antara inisiatif Jabatan Pengajian Islam yang dilaksanakan di sekolah-sekolah Arab bagi memperkukuhkan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar, di samping memupuk semangat daya saing yang sihat dan positif sesama mereka.

 

Foto: JPI​