Bandar Seri Begawan, Khamis, 26 Zulkaedah 1447 Bersamaan 14 Mei 2026–Dua sesi taklimat utama telah mewarnai majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna, Pusat Da'wah Islamiah, hari ini, dengan tujuan memberikan kefahaman lebih mendalam mengenai ajaran Islam serta pelaksanaan Kanun Hukuman Jenayah Syariah di Negara Brunei Darussalam.
Sesi Pertama menampilkan Pegawai Perkembangan Ugama, Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah, Yang Mullia Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, yang menyampaikan taklimat bertajuk Kefahaman Pengenalan Islam.
Dalam penyampaiannya, beliau menjelaskan bahawa Islam bukan sekadar agama, malah merupakan satu cara hidup yang menyeluruh dan menjadi panduan dalam setiap aspek kehidupan manusia. Islam menekankan keseimbangan hubungan manusia dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, sesama manusia dan alam sekitar demi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Beliau turut menegaskan bahawa ajaran Islam dibina atas asas keimanan, ketakwaan dan akhlak mulia, di samping berperanan membentuk individu serta masyarakat yang berdisiplin, bertanggungjawab dan saling hormat-menghormati.
Taklimat tersebut juga memperincikan kepentingan mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian seperti menunaikan ibadah, menjaga hubungan sesama manusia, bersikap jujur dan amanah, serta mengamalkan nilai tolong-menolong dan kasih sayang. Menurut beliau lagi, kesejahteraan hidup dapat dicapai melalui penghayatan ajaran Islam secara menyeluruh, di samping penerapan nilai kesabaran, keadilan, disiplin dan komunikasi yang baik dalam kehidupan harian.
Sesi Kedua pula disampaikan oleh Pegawai Perundangan Syariah, Jabatan Perundangan Islam, Yang Mulia Awang Abdul Hadi bin Haji Yaakub, yang memberikan penerangan ringkas mengenai Kanun Hukuman Jenayah Syariah, Penggal 275.
Dalam taklimat tersebut, para hadirin diberikan penerangan mengenai latar belakang pelaksanaan Kanun Hukuman Jenayah Syariah yang bermula sejak tahun 2013, dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun 2019 dan seterusnya menjadi akta pada tahun 2024. Taklimat turut menjelaskan bahawa undang-undang tersebut melibatkan orang Islam dan, dalam keadaan tertentu, turut melibatkan orang bukan Islam sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Beliau juga menerangkan kategori kesalahan di bawah Kanun Hukuman Jenayah Syariah seperti Hadd, Ta'zir, Qisas dan Diyat berserta contoh-contoh kesalahan yang diperuntukkan di bawah undang-undang tersebut. Selain itu, para hadirin turut diberikan penjelasan mengenai prinsip keadilan dalam Kanun Hukuman Jenayah Syariah termasuk syarat pembuktian yang ketat bagi memastikan hak individu sentiasa dipelihara dan setiap kes dikendalikan secara adil serta teratur.
Taklimat berkenaan turut menyentuh beberapa kesalahan lain di bawah Kanun Hukuman Jenayah Syariah antaranya, kesalahan berkaitan perbuatan tidak sopan di tempat awam, menghina ajaran ugama Islam, lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya, serta kesalahan lain yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Taklimat tersebut juga bertujuan memberikan kefahaman kepada para pemandu pelancong mengenai pelaksanaan Kanun Hukuman Jenayah Syariah agar maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada para pelancong dan pengunjung yang datang ke Negara Brunei Darussalam. Dengan adanya kefahaman tersebut, para pelancong diharap dapat memahami, mematuhi undang-undang serta menghormati nilai dan budaya tempatan sepanjang berada di negara ini.
Secara keseluruhannya, kedua-dua sesi taklimat berkenaan diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai ajaran Islam serta pelaksanaan Kanun Hukuman Jenayah Syariah dalam usaha memelihara keamanan, kesejahteraan dan keharmonian Negara Brunei Darussalam.