Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL SKIM BIMBINGAN ASAS MUALLAF  SIRI KE – 203 (LELAKI) DAN SIRI KE-204 (PEREMPUAN)

13 May 2026

MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL SKIM BIMBINGAN ASAS MUALLAF SIRI KE – 203 (LELAKI) DAN SIRI KE-204 (PEREMPUAN)

Negara Brunei Darusalam, Rabu, 25 Zulkaedah 1447 bersamaam 13 Mei 2026–Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dan Cawangan Da'wah Daerah-Daerah petang tadi mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil kepada Peserta-Peserta Skim Bimbingan Asas Muallaf Siri Ke–203 (Lelaki) dan Siri Ke-204 (Perempuan) secara serentak di keempat-empat daerah.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Bilik Al-Mau'izhah, Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, yang seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta. Turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin, Pegawai Perkembangan Ugama selaku Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah.

Majlis yang sama juga diadakan di Dewan Serbaguna, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dayang Zikrinaidah binti Haji Mat Dikir, Pegawai Ugama selaku Ketua Cawangan Da'wah Daerah Tutong, Pusat Da'wah Islamiah, yang seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.

Skim Bimbingan Asas Muallaf Siri Ke–203 (Lelaki) dan Siri Ke-204 (Perempuan) telah selesai dikendalikan selama 14 hari bermula 28 April 2026 hingga 13 Mei 2026, kecuali hari Ahad. Seramai 127 orang telah menyertai Skim Bimbingan Asas Muallaf Siri Ke–203 (Lelaki) dan Siri Ke-204 (Perempuan).  Daripada jumlah tersebut, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan seramai 39 peserta iaitu 20 lelaki dan 19 perempuan; Daerah Tutong seramai 40 peserta iaitu 17 lelaki dan 23 perempuan; Daerah Belait seramai 30 peserta iaitu masing-masing 15 lelaki dan 15 perempuan; manakala Daerah Temburong seramai 18 peserta iaitu 9 lelaki dan 9 perempuan.

Antara objektif Skim ini diadakan adalah untuk memberikan bimbingan kepada para Muallaf dalam menghalusi dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan agama Islam terutama dalam bidang aqidah, ibadah dan akhlak. Skim berkenaan mengutamakan kualiti pembelajaran dan penyebaran syakhsiah yang baik. Manakala pendekatan yang dibawa adalah interaktif dan fleksibel mengikut tajuk-tajuk yang disampaikan dan dibincangkan bersama para peserta.

Semoga dengan terlaksananya Skim ini membuahkan manfaat dan kebaikan yang besar kedalam diri para peserta supaya dapat memenuhi tuntutan agama sekaligus membimbing Muallaf berbekalkan ilmu yang sarat di dada, bukan ikutan semata-mata.

Dalam usaha menjaga dan memelihara kemaslahatan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah  menyediakan beberapa program bimbingan khusus untuk Muallaf iaitu Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas (Melayu dan Inggeris), Skim Bimbingan Lanjutan I serta Skim Bimbingan Lanjutan II. Kelas Bimbingan Muallaf juga dibuka secara mingguan di keempat-empat daerah di samping Program Lawatan Tarbiyah Muallaf.​