Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA  THE PRESIDENT OF THE AUSTRALIAN NATIONAL IMAMS COUNCIL [ANIC]

12 May 2026

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA THE PRESIDENT OF THE AUSTRALIAN NATIONAL IMAMS COUNCIL [ANIC]

Berakas, Selasa, 24 Zulkaedah 1447 bersamaan 12 Mei 2026-Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama menerima kunjungan hormat daripada Imam Shadi Alsuleiman, President of the Australian National Imams Council [ANIC] yang sedang mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Negara Brunei Darussalam bermula 11 hingga 12 Mei 2026.

Majlis Kunjungan Hormat tersebut diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis pada pagi tadi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tuan Yang Terutama Michael Hoy, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, dan Ms. Jenifer Zhao, Setiausaha Kedua di Suruhanjaya Tinggi Australia di Bandar Seri Begawan.

Kunjungan hormat ini menjadi wadah bagi bertukar pandangan dan pengalaman, di samping membincangkan peluang kerjasama dalam bidang perkhidmatan ugama. Dalam hubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama turut mengemukakan pelbagai potensi kerjasama antaranya program penghantaran imam dari Negara Brunei Darussalam ke masjid-masjid di Australia pada waktu-waktu yang bersesuaian sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala selain memperluas perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pengembangan syiar Islam antara kedua-dua negara.

Kunjungan Imam Shadi Alsuleiman ke negara ini adalah atas tajaan Kerajaan Australia. Lawatan ini juga merupakan susulan kepada kunjungan Dr Susan Carland, Australian Socioligist of Religion ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Men teri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

 

​​Foto: BPAAM