Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-228

09 May 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-228

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 22 Zulkaedah 1447 bersamaan 09 Mei 2026–Muhasabah menjelang Zulhijjah: dari taqwa menuju taqarrub bermula dengan menjaga hati dan sempadan Allah. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya" (Al-Qur'an, Surah Al-Ma'idah: 35). Taqwa lahir apabila seseorang berusaha menjauhi maksiat, mengawal pandangan, menjaga lidah, menahan marah, dan melawan nafsu. Apabila hati semakin peka terhadap dosa dan semakin takut kepada Allah, di situlah bermulanya langkah menuju taqarrub (mendekatkan diri kepada-Nya).

Menjelang Zulhijjah, inilah waktu terbaik untuk memperbaharui hati. Bukan sekadar menunggu ibadah korban, tetapi mengorbankan sifat-sifat buruk seperti ego, hasad, riya', dendam, dan cinta dunia yang berlebihan. Dengan muhasabah ini, Zulhijjah menjadi ruang untuk membersihkan hati supaya taqwa yang dibina benar-benar membawa kitani lebih dekat kepada Allah.

Demikian antara intipati Tazkirah bertajuk Muhasabah Menjelang Zulhijjah: Dari Taqwa Menuju Taqarrub yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Hezqyl bin Haji Hambali, Ar-Razaq Kifayah Management, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei dari Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-228 pada malam tadi.

Menyemarakkan acara Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah dari beberapa buah masjid iaitu Masjid Kampung Sungai Hanching; Masjid Kampung Salambigar; Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan; dan Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang. Turut menyertai ialah warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah, Penghulu Mukim Berakas 'B' dari Masjid Kampung Sungai Hanching, yang bersiaran dari Masjid berkenaan.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Aizuddin bin Haji Zainuddin, Belia Masjid Kampung Salambigar dari Masjid Kampung Salambigar.  Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Farhanuddin bin Haji Hassan, Imam Tingkat II, Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani, Imam Tingkat III, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Hamidi bin Haji Abdul Wahid, Ketua Kampung Kawasan 5, Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan, Mukim Berakas 'B dari Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.