Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

08 May 2026

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

Bandar Seri Begawan, Jumaat, 20 Zulkaedah 1447 bersamaan 08 Mei 2026Nilai teras kekeluargaan merupakan fitrah sejagat yang diperkukuhkan melalui ajaran Al-Qur'an dan sunnah Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Nilai-nilai ini merangkumi kasih sayang, tanggungjawab, hormat-menghormati serta sikap pemedulian. Kejayaan sesebuah keluarga pula tidak terbatas kepada pencapaian material semata-mata, bahkan turut meliputi aspek kebahagiaan, keharmonian, akhlak dan kesejahteraan rohani. Walaupun nilai kekeluargaan dalam masyarakat masih terpelihara, namun ia memerlukan pengukuhan secara berterusan agar dapat terus menjadi asas dalam pembentukan keluarga yang sejahtera dan berdaya tahan. Dalam hubungan ini, komunikasi yang berkesan diketengahkan sebagai elemen utama dalam membina institusi keluarga yang harmoni, saling memahami dan berteraskan nilai-nilai murni.

Perkara tersebut antara perkara yang disampaikan melalui Tazkirah Subuh bertajuk Nilai-Nilai Teras Kekeluargaan Brunei: Satu Harapan yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Mu'iid bin Hariel, Pegawai Ugama, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah bagi menyerikan Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan. 

Di samping membentuk masyarakat yang berdisplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat Negara Zikir dan Negara Berkat melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.

 

​Foto: JHEM