Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KETIBAAN PENERBANGAN PERTAMA BAKAL JEMAAH HAJI  NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1447H/2026M  DI MADINAH AL-MUNAWWARAH

04 May 2026

KETIBAAN PENERBANGAN PERTAMA BAKAL JEMAAH HAJI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1447H/2026M DI MADINAH AL-MUNAWWARAH

Madinah Al-Munawwarah, Isnin, 16 Zulkaedah 1447 bersamaan 04 Mei 2026–Penerbangan Pertama Bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447H/2026M menaiki pesawat Diraja Brunei (RB) BI4201 yang membawa seramai 254 orang telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, Madinah Al-Munawarrah pada pukul 3.48 petang waktu Madinah. 

Rombongan Penerbangan Pertama tersebut terdiri daripada tiga (3) orang Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan), 101 orang bakal Jemaah Haji daripada Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB), serta 150 orang bakal Jemaah Haji daripada Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn. Bhd. (SCA), yang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 254 orang.

Hadir bagi menyambut ketibaan rombongan bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Penerbangan Pertama ini ialah Tuan Yang Terutama Awang Haji Harun bin Haji Junid, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi di Riyadh dan isteri;  Yang Mulia Awang Haji Farhan bin Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani, Pemangku Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah dan isteri;  Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam;  Yang Mulia Dr. Haji Muhammad Nurhassanuddin bin Abdullah Kelali, Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan); para pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran dan Perubatan); serta wakil-wakil daripada Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB) dan Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd. (SCA); serta wakil Jabatan Imigresen Arab Saudi dan pegawai-pegawai yang terlibat secara langsung dalam Inisiatif Laluan Makkah (Makkah Route Initiative).

Melalui pelaksanaan Inisiatif Laluan Makkah (Makkah Route Initiative), bakal-bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam dapat melalui proses keluar dari Terminal Haji Khas yang dikhususkan bagi negara-negara terpilih dan tersenarai untuk diberikan keistimewaan pelaksanaan Inisiatif Laluan Makkah (Makkah Route Initiative). Proses berkenaan berjalan dengan lancar dan teratur, sekali gus membolehkan para jemaah terus menaiki bas yang disediakan untuk dibawa ke hotel penginapan masing-masing sebaik sahaja selesai urusan ketibaan.

Ketibaan bakal-bakal Jemaah Haji turut disambut oleh Ketua Holiday Inn Bakkah cawangan Madinah di hotel- hotel penginapan masing-masing.  Bakal Jemaah Haji daripada Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB) ditempatkan di Hotel Maden Al Rawda, manakala bakal Jemaah Haji daripada Straits Central Agencies (B) Sdn. Bhd. (SCA) ditempatkan di Hotel Sanabel Madinah dan Hotel Dar At Taqwa Madinah.

Sementara itu, beg-beg bagasi para jemaah telah diuruskan oleh Saudi Post Logistics (SPL) dan dihantar terus ke hotel penginapan masing-masing berpandukan tanda pengenalan melalui 'tagging' yang dibuat semasa proses pengumpulan bagasi awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Paspot Bakal-Bakal Jemaah Haji pula telah dikumpulkan dan disimpan oleh pihak Syarikat Holiday Inn Bakkah cawangan Madinah sebelum diserahkan semula kepada setiap Syarikat Pengendali Perkhidmatan Haji semasa pergerakan Jemaah Haji dari Madinah Al-Munawarrah ke Makkah Al-Mukarramah nanti.

Pengumpulan paspot tersebut juga adalah bagi tujuan penyelerasan pengeluaran Kad Nusuk jemaah sebelum kad berkenaan diagihkan kepada para Jemaah Haji pada keesokan harinya.

 

Foto: JUH​