Berakas, Isnin, 16 Zulkaedah 1447 bersamaan 04 Mei 2026-Pada Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi ini, Negara Brunei Darussalam telah disenaraikan dalam 10 buah negara yang diberikan keistimewaan pelaksanaan Makkah Route Initiative, iaitu satu inisiatif Kerajaan Arab Saudi yang bertujuan untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan perjalanan Jemaah Haji. Pelaksanaan ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha di bawah Wawasan 2030 Arab Saudi (Saudi Vision 2030) yang menekankan peningkatan kualiti perkhidmatan terhadap para Dhuyufurrahman.
Melalui pelaksanaan inisiatif ini, urusan kemasukan Jemaah Haji negara ini ke Arab Saudi akan lebih cepat dan mudah, iaitu dengan menyelesaikan proses imigresen lebih awal di negara ini tanpa perlu menjalani pemeriksaan imigresen semasa tiba di Lapangan Terbang Madinah nanti. Manakala bagasi jemaah akan dilabel dan disusun lebih awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei mengikut penempatan hotel jemaah di Madinah bagi memudahkan proses penghantaran terus bagasi ke hotel penginapan.
Sehubungan ini, Satu Majlis Perasmian Pelaksanaan Inisiatif Laluan Makkah (Makkah Route Initiative) bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam 1447 Hijrah / 2026 Masihi telah diadakan pagi tadi dengan kerjasama pihak Kerajaan Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, iaitu semasa Penerbangan Pertama Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam.
Hadir bagi menyempurnakan majlis tersebut bagi pihak Kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama. Manakala bagi pihak Kerajaan Arab Saudi ialah Tuan Yang Terutama Leftenan Jeneral Sulaiman bin Abdulaziz Al Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Penyeliaan bagi Inisiatif Laluan Makkah dan Penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Arab Saudi.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Major Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahan II; Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar. Menteri Kesihatan; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; dan Tuan Yang Terutama Mr. Saleh bin Abdulkarim Al-Shiha, Bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam; serta delegasi dari pihak Kerajaan Arab Saudi.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam inisiatif ini merupakan satu pengiktirafan daripada Kerajaan Arab Saudi terhadap kecekapan Pengurusan Haji Negara Brunei Darussalam serta kepatuhan terhadap peraturan-peraturan yang ditetapkan, di samping mencerminkan hubungan erat dan baik antara kedua-dua buah negara.
Foto: PDI, BPAAM