Berakas, Isnin, 16 Zulkaedah 1447 bersamaan 04 Mei 2026–Penerbangan Pertama Bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bertolak meninggalkan negara ini pada pukul 10.36 pagi tadi (waktu Brunei) dengan menggunakan pesawat Diraja Brunei (RB) BI4201 dan dijangka tiba di Madinah Al-Munawwarah pada pukul 5:15 petang waktu tempatan (waktu Madinah).
Jumlah keseluruhan Bakal Jemaah Haji termasuk Pegawai-Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan), Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB) dan Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn. Bhd. (SCA) ialah 254 orang.
Pecahan jumlah Bakal Jemaah Haji sebagaimana keterangan berikut:
| Pegawai/ Jemaah | Jemaah Lelaki | Jemaah Perempuan | Jumlah |
| Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan) | - | 03 orang | 03 orang |
Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB)
| 47 orang (termasuk 01 Pegawai Syarikat) | 54 orang | 101 orang (termasuk 01 Pegawai Syarikat) |
Straits Central Agencies (B) Sdn. Bhd. (SCA) | 81 orang (termasuk 02 Pegawai Syarikat) | 69 orang | 150 orang (termasuk 02 Pegawai Syarikat) |
| JUMLAH KESELURUHAN | 128 orang (termasuk 03 Pegawai Syarikat) | 126 orang (termasuk 03 Pegawai Perubatan) | 254 orang (termasuk 03 Pegawai Syarikat dan 03 Pegawai Perubatan) |
Mengiringi Bakal-Bakal Jemaah Haji bagi Penerbangan Pertama ialah Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan); Pegawai Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. ; dan Pegawai Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn. Bhd. (SCA).
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada Bakal-Bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin; Tuan Yang Terutama Leftenant Jeneral Sulaiman bin Abdulaziz Al-Yahya, Penasihat Kepada Duli Yang Amat Mulia Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Penyeliaan Inisiatif Laluan Makkah; Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Datin; dan Tuan Yang Terutama Mr. Saleh bin Abdulkarim Al-Shiha, Bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam.
Juga hadir, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri; Yang Mulia Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (Dasar dan Keugamaan) dan isteri; Yang Mulia Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (Pentadbiran dan Kewangan) dan isteri; serta Ahli Jemaah Penasihat Haji, pengarah-pengarah dan penolong-penolong pengarah Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Doa Selamat dibacakan oleh Yang Awang Haji Haris bin Haji Suboh, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Manakala Azan dilaungkan oleh Yang Mulia Awang Haji Hamdini bin Haji Garif, Imam Tingkat III, Masjid Omar Ali Saifuddien.
Foto: PDI, BPAAM