Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

JERAYAWARA PEMBARIGAAN TABUNG DANA BAGI PEMBINAAN MASJID  NEGARA BRUNEI DARUSSALAM UNTUK PEGAWAI DAN KAKITANGAN  KEMENTERIAN PEMBANGUNAN

02 May 2026

JERAYAWARA PEMBARIGAAN TABUNG DANA BAGI PEMBINAAN MASJID NEGARA BRUNEI DARUSSALAM UNTUK PEGAWAI DAN KAKITANGAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 14 Zulkaedah 1447 bersamaan 02 Mei 2026–Melalui penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, umat Islam di negara ini berpeluang untuk meraih ganjaran pahala sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada mereka yang menyumbang kepada pembinaan masjid. Penubuhan tabung dana ini berperanan sebagai wadah berterusan bagi umat Islam untuk mengumpul ganjaran pahala melalui sumbangan kepada pembangunan masjid, di samping membuka ruang sebagai satu peluang berharga untuk bertanam saham di akhirat.

Bagi memperkukuh kefahaman mengenai penubuhan serta peranan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Unit Urusetia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah mengambil inisiatif melaksanakan program jerayawara ke kementerian-kementerian di negara ini. Program tersebut disasarkan khusus kepada para pegawai dan kakitangan Kerajaan yang mula berkhidmat sejak tahun 2020M hingga kini, dengan hasrat untuk memperjelaskan matlamat serta objektif penubuhan tabung berkenaan secara menyeluruh dan berkesan.

Terdahulu, jerayawara seumpama ini telah diadakan di beberapa buah kementerian di negara ini. Pada kali ini, jerayawara tersebut diteruskan khusus bagi pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan mengambil tempat di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan pada pagi tadi.

Hadir sama pada jerayawara berkenaan, Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sesi penerangan mengenai Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Penerangan tersebut merangkumi latar belakang serta tujuan penubuhan tabung, kaedah dan mekanisme kutipan dana termasuk proses pemotongan gaji, statistik jumlah kutipan, serta perancangan projek yang telah dan akan dilaksanakan. Sesi turut disusuli dengan soal jawab dan perbincangan bagi memberikan ruang kepada para peserta mendapatkan penjelasan lanjut.​