Kilanas, Khamis, 12 Zulkaedah 1447 bersamaan 30 April 2026–Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, beriman, beramal dan bertaqwa, sekolah-sekolah Ugama di negara ini mengadakan majlis-majlis Khatam Al-Quran sebagai wadah bagi meraikan murid-murid Darjah VI yang telah berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Majlis seumpamanya merupakan salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa dalam usaha memastikan anak-anak mereka memperolehi pendidikan ugama yang berkesan dan dapat membaca Al-Quran dengan baik.
Sehubungan dengan itu, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut bersama Sekolah Ugama Katimahar pagi tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Murid-Murid Darjah VI di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, bagi meraikan seramai 35 orang peserta Khatam gabungan kedua-dua buah sekolah berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Mohammad Azhan bin Haji Ahmad, Timbalan Ketua Khidmat Pergigian (BANTU), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan, yang turut memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam, diikuti dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam serta persembahan Dikir. Acara disusuli dengan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Pada masa yang sama, majlis seumpamanya juga turut diadakan di Sekolah Ugama Masin yang bertempat di sekolah berkenaan bagi meraikan seramai 6 orang murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Malik bin Haji Kamis, Penolong Pengarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Kementerian Pertahanan yang juga memimpin bacaan Surah Al-Fatihah dan juga menyampaikan sijil kepada para peserta Khatam.
Majlis-Majlis Khatam Al-Quran di persekolahan Ugama merupakan usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memgukuhkan penghayatan ugama dalam kalangan murid serta mengembangkan syiar Islam di negara ini.
Foto: JPI