Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS DOA SELAMAT DAN RAMAH MESRA BERSAMA BAKAL-BAKAL JEMAAAH HAJI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM TAHUN 1447H / 2026M

01 May 2026

MAJLIS DOA SELAMAT DAN RAMAH MESRA BERSAMA BAKAL-BAKAL JEMAAAH HAJI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM TAHUN 1447H / 2026M

Jerudong, Jumaat 13 Zulkaedah 1447 bersamaan 01 Mei 2026-Bagi meraikan Bakal-Bakal Jemaah Haji yang akan menunaikan Ibadat Haji pada musim Haji tahun 1447H / 2026M dan juga memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar semua Jemaah Haji sentiasa berada dalam lindungan dan keselamatan serta dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan Manasik Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji mengadakan Majlis Doa Selamat dan Ramah Mesra Bersama Bakal-Bakal Jemaah Haji Tahun 1447H / 2026M pada petang tadi bertempat di Dewan Banquet Bridex, Jerudong.

Hadir selaku Tetamu Tehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin.

Sejurus ketibaan Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama berserta Datin, majlis diteruskan dengan Sesi Ramah Mesra Yang Berhormat Pehin dan Datin bersama Bakal-Bakal Jemaah Haji bagi Tahun 1447H / 2026M.

Acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Abdul Muhaimin bin Dr. Haji Serbini, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad, Pengarah Urusan Haji, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Seterusnya, Ucapan Tetamu Kehormat yang antara lain Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menekankan mengenai  cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pihak pengurusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam untuk menyempurnakan urusan-urusan Jemaah Haji mengikut garis masa yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.  Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam telah dipilih oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai salah sebuah negara yang akan menerima manfaat pelaksanaan Makkah Route Initiative yang bertujuan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses kemasukan Jemaah Haji negara ke Arab Saudi, iaitu melalui penyempurnaan prosedur imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Penekanan turut diberikan kepada persediaan jemaah melalui kursus Manasik dan penjagaan kesihatan serta nasihat agar sentiasa mematuhi peraturan, menjaga imej negara, bersabar dan memanfaatkan peluang sebagai Tetamu Allah. Bakal-Bakal Jemaah Haji juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi pelan kontigensi serta semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Haji negara jika berlaku sebarang kecemasan semasa berada di Tanah Suci.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tuan Yang Terutama Saleh Abdulkarim Al-Shiha, Bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri; Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri; serta pengarah-pengarah urusan dan wakil-wakil Syarikat Pengendali Perkhidmatan Pakej Haji dan Umrah bagi Musim Haji 1447H / 2026M.

Pada tahun ini, seramai 1,000 orang bakal Jemaah Haji negara akan menunaikan Ibadat Haji ke Tanah Suci.  Manakala tujuh (7) buah Syarikat Pengendali Perkhidmatan Pakej Haji dan Umrah yang beroperasi mengendalikan Haji bagi Musim Haji tahun ini iaitu: Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd.; Syarikat Straits Central Agencies (SCA) Sdn. Bhd.; Syarikat At-Taqwa Travel Tours Sdn. Bhd.; Syarikat Dar El-Ehsan Travel Sdn. Bhd.; Syarikat Al-Hijrah Travel and Tours Sdn. Bhd; Syarikat Titian Travel and Tours Sdn. Bhd.; dan Syarikat Balurih Travel Sdn. Bhd.

Bakal-Bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam pada Musim Haji 1447H / 2026M dijadualkan bertolak ke Tanah Suci dalam 4 penerbangan iaitu 16, 17, 18 dan 19 Zulkaedah 1447 bersamaan 4, 5, 6 dan 7 Mei 2026M, pukul 10:15 Pagi.​