Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

BENGKEL ZAINUL QUR’AN BERSAMA QARI ANTARABANGSA SEMPENA MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN  TAHUN 1447 HIJRAH / 2026 MASIHI

30 April 2026

BENGKEL ZAINUL QUR’AN BERSAMA QARI ANTARABANGSA SEMPENA MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1447 HIJRAH / 2026 MASIHI

Berakas, Khamis, 12 Zulkaedah 1447 bersamaan 30 April 2026Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada 30 orang pelajar Skim Tilawah Al-Qur'an Remaja (STAR) serta 30 orang tenaga pengajar Skim Tilawah Al-Qur'an Remaja (STAR) dan Skim Tilawah Al-Qur'an Kanak-Kanak (STAKA) menyertai Bengkel Zainul Qur'an bersama Qari antarabangsa sempena Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.

Bengkel Zainul Qur'an tersebut diadakan selama enam (6) hari bermula hari ini, Khamis, 30 April 2026 hingga Selasa, 05 Mei 2026 bertempat di Dewan Serbaguna, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.

Bengkel ini diadakan susulan jemputan khas kepada Yang Mulia Ustaz Mohamad Husaini bin Mahmur, Qari dari Malaysia yang telah membuat persembahan pada Hari Ketiga Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi. Beliau juga diundang sebagai fasilitator utama Bengkel Zainul Qur'an ini.

Yang Mulia Ustaz Mohamad Husaini bin Mahmur merupakan Johan Qari Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa Kali Ke-64 pada tahun 2024 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Hadir selaku Tetamu Khas dan seterusnya merasmikan Bengkel Zainul Qur'an pagi tadi ialah Yang Mulia Awang Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali, Pengarah Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Bengkel dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa.  Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Aziman bin Haji Zaman, Ketua Bahagian Kemajuan Syi'ar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Disusuli dengan Ucapan daripada Tetamu Khas yang diselajurkan dengan perasmian bengkel berkenaan.

Bengkel Zainul Qur'an ini dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Qur'an MABIMS dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam.

Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan dengan latihan intensif yang merangkumi teknik bacaan al-Qur'an yang berkualiti, penguasaan tarannum, kawalan suara dan pernafasan serta gaya persembahan tilawah. Selain itu, sesi latih tubi dan ujian praktikal turut diadakan bagi menilai tahap penguasaan peserta secara berterusan.

Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan mutu bacaan Al-Qur'an dalam kalangan peserta, di samping membina keyakinan diri serta memberi peluang menimba ilmu secara langsung daripada Qari bertaraf antarabangsa. Inisiatif ini juga merupakan usaha berterusan dalam melahirkan lebih ramai Qari dan Qariah yang berpotensi untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Adalah diharapkan agar bengkel ini dapat terus menjadi platform pembangunan bakat dalam bidang tilawah Al-Qur'an serta berperanan sebagai medium memperkukuh kefahaman dan penghayatan ajaran Islam dalam kalangan generasi muda.

Penganjuran bengkel ini juga selaras dengan tema Musabaqah pada tahun ini iaitu Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur'an dan Menghayati Ajarannya.

 

Foto: BKSI