Berakas, Rabu, 12 Zulkaedah 1447 bersamaan 29 April 2026–Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi sempurna dilaksanakan selama tiga (3) malam berturut-turut iaitu pada hari Isnin malam Selasa, Selasa malam Rabu, dan Rabu malam Khamis, 10, 11 dan 12 Zulkaedah 1447 Hijrah bersamaan 27, 28 dan 29 April 2026 Masihi bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Permakluman Keputusan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi telah diumumkan pada Hari Ketiga Musabaqah oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama .
Sehubungan itu, seramai 16 orang Hakim yang dilantik bagi Musabaqah berkenaan telah menerima sijil penghargaan dan cenderahati masing-masing di Majlis Penyampaian Sijil kepada Hakim-Hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi pada malam tadi bertempat di Bilik VIP 2, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Terdahulu Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hassanul Jamsyir Ali bin Jais.
Foto: PDI