Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-9  PELAJAR SANAH 10 FAST TRACK DAN 11 SESI 1446-1447H / 2025M  SEKOLAH UGAMA ARAB MENENGAH PEREMPUAN RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK HAJAH SALEHA

30 April 2026

MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-9 PELAJAR SANAH 10 FAST TRACK DAN 11 SESI 1446-1447H / 2025M SEKOLAH UGAMA ARAB MENENGAH PEREMPUAN RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK HAJAH SALEHA

Katok, Khamis, 12 Zulkaedah 1447 bersamaan 30 April 2026–Bagi mendukung matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan Rakyat Yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok pagi tadi mengadakan Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-9 bagi meraikan seramai 292 orang pelajar yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) serta Brunei Cambridge GCE 'O' Level bagi Tahun 2025. Majlis diadakan di dewan sekolah berkenaan dan merupakan acara tahunan sebagai tanda penghargaan kepada para pelajar Tahun 10 Fast-Track dan Tahun 11 yang telah menamatkan pengajian pada tahun lalu.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri berserta Datin. Turut hadir, para ibu bapa dan penjaga pelajar yang diraikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.  Diikuti nyanyian Lagu Kebangsaan serta lagu rasmi sekolah. Diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berserta terjemahannya dan disusuli ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Zinin selaku Pemangku Pengetua Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Seterusnya, penyampaian sijil kepada seramai 292 orang pelajar yang diraikan. Di samping itu, seramai 23 orang pelajar telah menerima Hadiah Pelajar Terbaik dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) bagi Tahun 2025. Manakala 5 orang pelajar menerima Hadiah Pelajar Terbaik dalam Peperiksaan Brunei Cambridge GCE 'O' Level bagi Tahun 2025. Seorang (1) pelajar turut menerima Anugerah Pelajar Imtiyaz Akademik, sementara  orang pelajar masing-masing menerima Anugerah Imtiyaz dan Anugerah Pelajar Mulhimah bagi Tahun 2025.

Atur cara majlis turut diserikan dengan persembahan oleh para pelajar dan ucapan oleh penerima Anugerah Pelajar Mulhimah. Majlis diakhiri dengan Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis Haflut Takharruj diadakan dengan tujuan untuk membarigakan serta memartabatkan pendidikan Islam dan Arab dalam kalangan masyarakat Negara Brunei Darussalam, di samping menzahirkan kegembiraan, kesyukuran dan penghargaan atas kejayaan para pelajar dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan Brunei Cambridge GCE 'O' Level. Majlis juga dihasratkan menjadi pendorong dan pemangkin motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah Arab untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

 

Foto: JPI​