Berakas, Rabu malam Khamis, 12 Zulkaedah 1447 bersamaan 29 April 2026-Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi. Majlis berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Tema pada tahun ini Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur'an dan Menghayati Ajarannya.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta Kerabat Diraja dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II; Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan; Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang lain.
Majlis dimulakan dengan Persembahan Bacaan Ayat Suci Al-Qur'an oleh Yang Mulia Ustaz Mohamad Husaini bin Mahmur, Qari Jemputan dari Malaysia.
Majlis diteruskan dengan Sembah Alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama antara lain menyatakan Seterusnya disembahkan bahawa sebagaimana yang sedia dimaklumi Musabaqah Tilawah Al-Qur'an ini adalah usaha yang berkesinambungan sudah sekian lama dalam mensyi'arkan Islam ugama rasmi Negara. Iaitu dengan menjulang tinggi status kerasmiannya, memelihara keutuhan akidah dan menyebarluaskan ajaran-ajarannya sesuai dengan semangat peruntukan Perlembagaan Negara yang menjadikan Islam agama rasmi mengikut Ahli Sunnah Wal Jama'ah, di samping membenarkan agama lain diamalkan dengan aman dan sempurna oleh pemeluknya.
Usaha-usaha mengukuhkan akidahnya dan menyebarluaskan ajaran-ajaran itu dilakukan dengan bijaksana melalui tadbir urus yang berhemah terutama sekali melalui pendidikan dan da'wah. Dengan itu, negara kekal aman, sekalian rakyat dan penduduk hidup harmoni, meni'mati kesejahteraan dalam negara berpemerintahan beraja yang adil dan berdaulat.
Sehubungan dengan itu tema Musabaqah tahun ini yang mengungkapkan kata-kata Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur'an dan Menghayati Ajarannya adalah akan menambah mantap lagi usaha-usaha pembelajaran dan penghayatan ajaran ugama Islam dengan bersumberkan ayat-ayat al-Qur'an yang difahami dengan fahaman yang betul supaya ajarannya diamalkan dengan sempurna. Iaitu seperti yang di'ibrahkan oleh enam (6) orang ilmuan muda dalam dua malam Musabaqah, mereka masing-masing daripada Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kementerian Pendidikan.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menambah bahawa Ke arah itu insyaa Allah program-program pembelajaran dan penghayatan ajaran-ajarannya akan lebih diperkukuhkan melalui perancangan dan pelaksanaan yang sistematik, mendukung usaha-usaha pembangunan Negara yang seimbang bagi melahirkan generasi demi generasi yang berjaya dengan cemerlang, hidup berbahagia di dunia, dan seterusnya meni'mati hasil amal salihnya di akhirat berkat teguh iman dan lurus akidahnya kepada Allah Subhanahu Wata'ala, sesuai dengan janji dan peringatan Allah Subhanahu Wata'ala dalam firmanNya di akhir Surah al-Kahfi, ayat 110: Terjemahannya: Katakanlah “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa maka sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amalan salih dan janganlah dia mempersekutukan Tuhannya dengan sesiapa pun dalam beribadat kepadaNya.
Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Titah di Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Seterusnya Pengumuman Keputusan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang disembahkan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah
dan Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama Selaku Pengerusi Jemaah Hakim.
Majlis diikuti dengan Persembahan Bacaan Al-Qur'an oleh Johan Qari dan Johan Qariah Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Johan Qari disandang oleh Yang Mulia Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri, dengan Markah 92.17%; Naib Johan Qari ialah Yang Mulia Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki dengan Markah: 91.65%; dan Tempat Ketiga Qari ialah Yang Mulia Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili dengan Markah: 90.30%.
Manakala Johan Qariah disandang oleh Yang Mulia Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, dengan Markah 91.65%; Naib Johan Qariah pula ialah Yang Mulia Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat dengan Markah: 89.5%; dan Tempat Ketiga Qariah pula ialah Yang Mulia Dayang Nurhaneyah binti Nordin dengan memperolehi Markah: 85.93%.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada Johan Qari, Johan Qariah serta Peserta-Peserta, dan Qari Jemputan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Johan Menerima Wang Tunai $7,000.00 (Tujuh Ribu Dolar Brunei); Piala Pusingan, Hadiah Iringan, Sijil Penyertaan; Pakej Menunaikan Fardhu Haji bagi Peserta Pertama Kali menjadi Johan; Akaun Tekad Haji berjumlah $5,000.00 (Lima Ribu Dolar Brunei) sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn.Bhd dan Darussalam Holdings Sdn.Bhd.; Satu (1) Dinar Emas daripada Balurih Travel Sdn.Bhd; dan Sebidang Kain Tenunan Brunei sumbangan daripada Syarikat Little Ummi.
Naib Johan Menerima Wang Tunai $5,000.00 (Lima Ribu Dolar Brunei); Hadiah Iringan, Sijil Penyertaan; Akaun Tekad Haji berjumlah $2,500.00 (Dua Ribu Lima Ratus Dolar Brunei) sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn.Bhd dan Darussalam Holdings Sdn.Bhd.; ½ (Satu per dua) Dinar Emas daripada Balurih Travel Sdn.Bhd.
Tempat Ketiga Menerima Wang Tunai $3,000.00 (Tiga Ribu Dolar Brunei); Hadiah Iringan, Sijil Penyertaan; Akaun Tekad Haji berjumlah $1,500.00 (Satu Ribu Lima Ratus Dolar Brunei) sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn.Bhd dan Darussalam Holdings Sdn.Bhd.; dan ¼ (Satu per empat) Dinar Emas daripada Balurih Travel Sdn.Bhd.
Majlis diakhiri dengan Bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.
Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Datastream Digital Sdn Bhd (DST).
Foto: PDI