Berakas, Rabu, 11 Zulkaedah 1447 bersamaan 29 April 2026–Sebagai tanda kesyukuran serta memohon keberkatan serta perlindungan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar para bakal Jemaah Haji dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan, serta dianugerahkan Haji yang mabrur, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi mengadakan Majlis Doa Selamat dan Penyerahan Derma kepada Bakal-Bakal Haji Warga Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Tahun 1447H/2026M bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.
Pada tahun ini seramai 52 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta jabatan-jabatan di bawahnya akan menunaikan Ibadat Haji.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan kemudiannya menyempurnakan penyerahan derma ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan); Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan); serta ketua-ketua jabatan, para pegawai dan bakal-bakal Haji yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Diserikan dengan Tazkirah bertajuk Haji Memenuhi Panggilan Ilahi yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr Mikdar Rusdi, Penolong Kanan Profesor, Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada bakal-bakal Haji Warga Kementerian Hal Ehwal Ugama oleh Tetamu Kehormat.
Penganjuran Majlis Doa Selamat dan Penyerahan Derma ini turut mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan Kementerian Hal Ehwal Ugama terhadap kebajikan warganya yang akan menunaikan Ibadah Haji di samping menjadi wadah memperkukuhkan ukhuwah dan nilai-nilai keagamaan dalam kalangan warga kementerian.
Penerbangan pertama bagi bakal-bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam dijangka bertolak pada hari Isnin, 16 Zulkaedah 1447 bersamaan 4 Mei 2026.
Foto: PB JP, KUPU SB, BPAAM