Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

SKIM BIMBINGAN ASAS MUALLAF SIRI KE – 203 (LELAKI) DAN SIRI KE – 204 (PEREMPUAN)

28 April 2026

SKIM BIMBINGAN ASAS MUALLAF SIRI KE – 203 (LELAKI) DAN SIRI KE – 204 (PEREMPUAN)

Negara Brunei Darussalam, Selasa, 10 Zulkaedah 1447 bersamaan 28 April 2026–Dalam usaha menjaga dan memelihara kemaslahatan para Muallaf di Negara Brunei Darussalam, khususnya dalam memperkukuh pengetahuan agama Islam dalam bidang akidah, ibadah dan akhlak, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) serta Cawangan Da'wah Daerah-Daerah menganjurkan Skim Bimbingan Asas Muallaf Siri Ke-203 (Lelaki) dan Ke-204 (Perempuan). Program ini diadakan secara serentak di keempat-empat daerah selama 14 hari, bermula pada 28 April 2026 hingga 16 Mei 2026, kecuali hari Ahad.

Seramai 138 orang saudara-saudara baru menyertai Skim Bimbingan Asas Muallaf pada kali ini.  Daripada jumlah tersebut, seramai 48 orang peserta adalah dari Daerah Brunei dan Muara, 34 peserta dari Daerah Belait, dan 43 peserta dari Daerah Tutong, manakala 18 orang dari Daerah Temburong.

Skim ini dilaksanakan secara serentak di beberapa lokasi iaitu di Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah bagi Daerah Brunei dan Muara; di Dewan Ceramah, Jabatan Bandaran Kuala Belait bagi Daerah Belait; di Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong bagi Daerah Tutong; dan di Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Temburong bagi Daerah Temburong.

Sepanjang skim ini dilaksanakan, para peserta akan didedahkan dengan pembelajaran ilmu asas Fardhu 'Ain dan Fardhu Kifayah, antaranya Iqra', Amali, Tauhid, Fiqh Thaharah (kebersihan), Fiqh Solat, Fiqh As-Siyam (Puasa), Praktikal Solat Berjemaah, Sejarah Islam, Pemakanan dalam Islam, Akhlak, Kebersihan, serta sesi perkongsian mengenai Pemakanan Halal dan Haram serta Teknik Penyembelihan Ternakan.

Antara objektif skim ini diadakan adalah untuk memberikan bimbingan kepada para Muallaf dalam menghalusi dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan agama Islam, khususnya dalam bidang akidah, ibadah dan akhlak.

Pelaksanaan skim ini turut mengutamakan kualiti pembelajaran serta pembentukan sahsiah yang baik dalam kalangan peserta. Pendekatan yang digunakan adalah secara interaktif dan fleksibel, selaras dengan tajuk-tajuk yang disampaikan serta dibincangkan bersama para peserta Muallaf.

Dalam usaha berterusan menjaga dan memelihara kebajikan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah turut menyediakan beberapa program bimbingan lain, antaranya Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Skim Bimbingan Lanjutan I dan II. Selain itu, Kelas Bimbingan Muallaf turut diadakan secara mingguan di keempat-empat daerah, di samping pelaksanaan Program Lawatan Tarbiyah Muallaf serta program bimbingan melalui platform dalam talian.​