Berakas, Selasa malam Rabu, 11 Zulkaedah 1447 bersamaan 28 April 2026-Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat pada Hari Kedua Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Seramai tiga (3) lagi Qari dan tiga (3) Qariah memperdengarkan bacaan Al-Qur'an masing-masing pada Hari Kedua, Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II; Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan; Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang lain.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.
Musabaqah kemudiannya diikuti dengan bacaan Al-Qur'an dari tiga (3) orang peserta. Mereka adalah Yang Mulia Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili; Yang Mulia Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki; dan Yang Mulia Awang Haji Hazwan bin Haji Salim.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Bacaan Al-Qur'an زين القران ) ) Zainul Qur'an iaitu persembahan ayat-ayat suci Al-Qur'an secara bertarannum (berirama) oleh (3) tiga orang Qari yang pernah mewakili negara di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia. Mereka ialah Yang Mulia Awang Muhammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah; Yang Mulia Awang Haji Mohammad bin Ali, dan Yang Mulia Awang Haji Muhammad Fikri bin Awang Haji Metussin.
Musabaqah disambung lagi dengan bacaan Al-Qur'an dari tiga (3) orang lagi peserta terakhir iaitu Yang Mulia Dayang Nurhaneyah binti Nordin; Yang Mulia Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri; dan Yang Mulia Dayang Nureen binti Mohd Salleh.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik kemudiannya berangkat meninggalkan Majlis setelah selesai keenam-enam (6) orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing di Hari Kedua Musabaqah.
Majlis Pengumuman Keputusan bagi menentukan Johan Qari dan Qariah Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi akan diadakan pada hari ketiga dan terakhir, iaitu esok malam, Rabu malam Khamis, 12 Zulkaedah 1447 bersamaan 29 April 2026 di tempat yang sama bermula pukul 7.15 malam.
Tema Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi ialah Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur'an dan Menghayati Ajarannya.
Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Datastream Digital Sdn Bhd (DST).
Foto: PDI