Berakas, Isnin malam Selasa, 10 Zulkaedah 1447 bersamaan 27 April 2026-Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi. Majlis berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Pusat Persidangan Antarabangsa dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II; Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan; Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang lain.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Di majlis Musabaqah tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan Sabda dan seterusnya menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie.
Diikuti dengan Sembah Alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang antara lain Disembahkan seterusnya tema musabaqah tahun ini mengungkapkan kata-kata seruan Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur'an dan Menghayati Ajarannya.
Sesungguhnya ia ditujukan kepada kita supaya akan terus menerus berusaha melaksanakan pembelajaran al-Qur'an untuk memastikan generasi negara akan tetap celek al-Qur'an, sesuai dengan dasar pembelajarannya melalui pendidikan formal di sekolah-sekolah, selain di masjid-masjid, balai-balai ibadah dan bahkan di rumah-rumah yang diinisiatifkan oleh ibu bapa dan keluarga untuk anak cucu mereka bahkan untuk diri mereka. Begitu juga sudah semakin berkembang minat mengikuti pembelajaran al-Qur'an itu di sekolah sekolah yang ditubuhkan dengan insiatif pihak-pihak swasta yang khusus menjadi pusat mempelajari al-Qur'an bagi sebahagian orang-orang muda dan dewasa, sama ada untuk pandai membaca dan supaya celek al-Qur'an ataupun untuk anak-anak mereka yang sedia belajar di sekolah-sekolah supaya akan segera pandai membaca al-Qur'an dengan lancar.
Dalam masa yang sama adalah sesuai pembelajaran al-Qur'an disertakan dengan memberikan makna ayat-ayat al-Qur'an yang dibaca dan diajarkan itu. Ini boleh disesuaikan dengan peringkat-peringkat umur. Bahan untuk mengajar al-Qur'an berserta memberikan makna ayat-ayat yang dipelajari sedemikian itu sudah tersedia iaitu Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya, terbitan Pusat Da'wah Islamiah (PDI).
Musabaqah kemudiannya dimulakan dengan bacaan Al-Qur'an dari tiga (3) orang peserta iaitu Yang Mulia Awang Ahmad Naufal bin Haji Nor Asman; Yang Mulia Dayang Nur Amal Atiqah @ Aida binti Haji Sudirman; Yang Mulia Awang Mohammad Ayob bin Ali.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Nasyid (Al-Qur'an Syafa'ah) sebagai lagu tema Musabaqah oleh Penuntut Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Musabaqah disambung dengan memperdengarkan bacaan Al-Qur'an dari tiga (3) orang peserta. Mereka adalah Yang Mulia Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat; Yang Mulia Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki; dan Yang Mulia Dayangku Alma Hazirah binti Pengiran Haji Jofri.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah kemudiannya berangkat meninggalkan Majlis setelah selesai enam (6) orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing di Hari Pertama Musabaqah.
Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi ini membawa Tema: “Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur'an dan Menghayati Ajarannya".
Musabaqah ini berlangsung selama tiga (3) hari berturut-turut dan akan disambung lagi pada Hari Kedua, esok malam, 11 Zulkaedah 1447 bersamaan 28 April 2026. Sementara itu, Majlis Pengumuman Keputusan bagi menentukan Johan Qari dan Qariah Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi ialah pada pada Hari Rabu malam Khamis, 12 Zulkaedah 1447 bersamaan 29 April 2026 di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, bermula pukul 7.15 malam.
Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Datastream Digital Sdn Bhd (DST).
Foto: PDI dan BPAAM