Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM IKON MUALLAF 2.0: JALAN LIMA

26 April 2026

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM IKON MUALLAF 2.0: JALAN LIMA

Bandar Seri Begawan, Ahad, 08 Zulkaedah 1447 bersamaan 26 April 2026–Sebagai usaha memperkasakan pembangunan modal insan dalam kalangan Muallaf di Negara Brunei Darussalam, Program Ikon Muallaf 2.0 telah dirasmikan pagi tadi bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.

Program ini merupakan kesinambungan daripada Program Ikon Muallaf yang telah dilaksanakan pada tahun 2024. Pada edisi kali ini, program ini bertemakan "Jalan Lima", yang memberi penekanan khusus kepada penghayatan Rukun Islam sebagai asas identiti Muslim yang mantap.

Menerusi program ini, sesi Muallaf-Connect (M-Connect) diperkenalkan sebagai platform rakan sebaya yang inklusif bagi menyalurkan sokongan rohani, mental, dan emosi dalam kalangan belia Muallaf. Integrasi ini bertujuan untuk membentuk peserta menjadi qudwah (contoh teladan) dalam masyarakat melalui penghayatan kehidupan sebagai seorang Muslim, di samping untuk membentuk akhlak saling peduli dan menyokong sesama Muallaf. 

Inisiatif ini selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak mulia berfalsafahkan Melayu Islam Beraja (MIB). Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi merasmikan program berkenaan ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.

Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Firas bin Kalong@Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Belia Muallaf As-Syahadah. Acara diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Qur'an oleh Yang Mulia Awang Muhammad Saiful Dafi bin Muhammad Suhaimi @ Suanddy bin Suhaimi, pemenang Qari Musabaqah Murattal Al-Qur'an bagi Muallaf Senegara Tahun 2022M, beserta intisari ayat yang dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nurfashihah Amirah binti Abdullah Chua, Ahli Jawatankuasa Belia Muallaf As-Syahadah. 

Kemuncak majlis menyaksikan tayangan video perasmian Ikon Muallaf 1447H/2026M dan diikuti dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Muhammad Asmat bin Lamat @ Asmat Anak Lamat. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Khairul Aiman Akmal @ Yussof Almahdi bin Haji Rusli, Ahli Jawatankuasa Belia Muallaf As-Syahadah bagi memohon keberkatan agar segala ilmu yang diperoleh sepanjang program empat (4) bulan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Acara kemudiannya disusuli dengan sesi bergambar ramai bagi mengukuhkan lagi tali silaturahim antara para peserta dan tetamu yang hadir.

 

Foto: PDI​