Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-226

25 April 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-226

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 08 Zulkaedah 1447 bersamaan 25 April 2026Melaksanakan Ibadah Korban itu Sunnah Muakkadah.  Maksud Hukum Sunnah Muakkadah dalam melaksanakan Ibadah Korban ialah melaksanakan Ibadah Korban Sunat itu sangat dituntut kita melakukannya. Ia tidak sama dengan tuntutan sunat biasa sepert tuntutan sunat bersedekah atau sunat berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Orang-orang yang melaksanakan Ibadah Korban dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala keistimewaan yang sangat tinggi nilainya.  Tidak melaksanakan Ibadah Korban pula adalah suatu kerugian besar kerana ia hanya datang sekali dalam setahun.

Demikian antara intipati Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri selaku Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kasat bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-226 pada malam tadi.

Menyemarakkan acara Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, Belia dan jemaah Masjid Kampung Kasat serta dari beberapa buah masjid di seluruh negara, dan juga warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama serta individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji E'rifin bin Haji Mohd Yusof, Ketua Kampung Kasat, Pengerusi Majlis Perundingan Kampung Kasat, Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kasat bersiaran dari Masjid berkenaan.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Razin Hakim bin Haji Razak, Pelajar Diploma 'Aliayah Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang juga Belia Masjid Kampung Kasat. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Amiruddin bin Pengiran Haji Tejudin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Kasat, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Asma Al Husna beramai-ramai oleh Belia dan Jemaah Masjid Kampung Kasat.  Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Ajrin bin Haji Rungging, Imam Tingkat IV, Imam Masjid Kampung Kasat, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.​