Bandar Seri Begawan, Jumaat, 06 Zulkaedah 1447 bersamaan 24 April 2026–Dalam usaha memperkukuhkan peranan belia sebagai agen da'wah serta pelaksana Al-Amr Bil Ma'ruf Wa An-Nahyu 'Anil Munkar, Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah serta kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau pagi tadi menganjurkan Program Pejuang Fajr Kali Ke-18 di Masjid AnNa'im, Kampung Panchor Mengkubau.
Program ini merupakan salah satu inisiatif berterusan dalam meningkatkan kesedaran, khususnya dalam kalangan belia agar bangun menunaikan Sembahyang Fardhu Subuh secara berjemaah, di samping memupuk semangat kebersamaan, silaturrahim serta mengimarahkan masjid melalui aktiviti-aktiviti bermanfaat.
Acara dimulakan dengan Sembahyang Sunat Tahajjud yang dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da'ie. Diikuti dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau. Diteruskan dengan bacaan Surah Al-Kahfi yang turut dipimpin oleh wakil Badan Sukarelawan Belia Da'ie. Sebagai pengisian rohani, program diserikan lagi dengan Tazkirah Subuh bertajuk Kisah Salman AlFarisi: Keseimbangan antara Tuntutan Ukhrawi dan Duniawi yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Safwan bin Mohd Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program ini mendapat sambutan yang amat baik dengan kehadiran kira-kira 150 orang peserta terdiri daripada jemaah masjid, pegawai-pegawai kerajaan, pesara, para belia termasuk mahasiswa dan mahasiswi universiti, alumni Akademi Da'wah serta orang awam. Rakaman program boleh didapati melalui laman Instagram rasmi Belia Da'ie untuk tontonan dan manfaat orang ramai. Program seperti ini diharap akan terus menjadi platform yang berkesan dalam membentuk generasi belia yang berakhlak mulia, berdaya saing serta istiqamah dalam mengimarahkan masjid dan melaksanakan tuntutan agama.




Foto: PDI