Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

TADABBUR SURAH AL-FATIHAH BAGI KELAS AL-QURAN DAN MUQADDAM  DI MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT SELURUH NEGARA KALI KETIGA  SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI BAGI TAHUN 1447H/2026M

24 April 2026

TADABBUR SURAH AL-FATIHAH BAGI KELAS AL-QURAN DAN MUQADDAM DI MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT SELURUH NEGARA KALI KETIGA SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI BAGI TAHUN 1447H/2026M

Panchor, Jumaat, 06 Zulkaedah 1447 bersamaan 24 April 2026–Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama beberapa Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid pagi tadi menganjurkan Program Tadabbur Surah Al-Fatihah bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam Kali Ketiga sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.

Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk memperkukuh penghayatan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Ia juga selaras dengan inisiatif Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk memperkasa pendidikan Al-Quran, memupuk budaya membaca serta memahami isi kandungan Al-Quran, di samping menggalakkan pengimarahan masjid sebagai pusat pembelajaran dan pembangunan ummah.

Program ini bertujuan memberikan pendedahan serta kefahaman yang lebih mendalam mengenai maksud dan penghayatan Surah Al-Fatihah dalam kehidupan seharian, khususnya sebagai amalan ketika memulakan majlis. Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan peserta tentang kepentingan membaca, memahami dan mengamalkan ajaran Al-Quran, di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan jemaah dan masyarakat setempat.

Acara utama telah diadakan di Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau dan turut dilaksanakan secara serentak di beberapa buah masjid terpilih di keempat-empat daerah.

Program tadabbur tersebut telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohammad Ali, Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Melalui penganjuran program seumpama ini diharapkan para peserta, khususnya kanak-kanak dalam Kelas Al-Quran dan Muqaddam, akan dapat meningkatkan kemahiran membaca serta menghayati Surah Al-Fatihah dengan betul, lancar dan penuh kefahaman. Usaha ini seterusnya menyokong matlamat Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam melahirkan masyarakat yang celik Al-Quran, berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.​