Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

24 April 2026

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

Bandar Seri Begawan, Jumaat, 06 Zulkaedah 1447 bersamaan 24 April 2026Ibadah haji merupakan sebuah perjalanan yang mendambakan perubahan besar dalam kehidupan. Ia bukan sekadar kunjungan ke Tanah Suci, bahkan merupakan medan tarbiyah yang menguji seluruh dimensi kemanusiaan seorang hamba. Namun, sering kali persiapan lebih tertumpu kepada aspek material, sedangkan hakikat kejayaan sebagai tetamu Allah terletak pada kesediaan memperbaharui diri. Oleh itu, para bakal haji hendaklah mempersiapkan jiwa yang tabah, cekal dan bersedia menghadapi suasana di Tanah Suci yang serba luar biasa.

Perkara tersebut antara intipati Tazkirah Subuh bertajuk Menuju Redha Illahi: Bekalan Terbaik Tetamu Allah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ashraf, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei bagi menyerikan Program Masjidku Makmur, Negara Berkat yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan.  Di samping membentuk masyarakat yang berdisplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat Negara Zikir dan Negara Berkat melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.

 

Foto: JHEM